BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN
Showing posts with label KARANGAN FAKTA. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN FAKTA. Show all posts

Sunday, March 23, 2014

KARANGAN UPSR (FAKTA) : FAEDAH KOMPUTER

SOALAN :

Tulis sebuah karangan tentang faedah komputer kepada seseorang.




Komputer merupakan alat elektronik yang menyimpan mak­lumat pada cakera atau pita bermagnet, meng­analisisnya dan mengeluarkan maklumat selanjutnya apabila diperlukan. Penggunaan komputer semakin popular di dunia dewasa ini. Terdapat pelbagai jenis komputer seperti komputer peribadi, komputer meja, komputer mudah alih, komputer talapak dan sebagainya. Murid-murid terdedah kepada dunia komputer sejak peringkat sekolah rendah lagi. 

Pendedahan ini memberikan banyak faedah kepada mereka. Antaranya, murid-murid boleh meluaskan pengetahuan dan minda mereka melalui penggunaan internet. Murid-murid dapat mencari maklumat terkini dengan cepat dan mudah. Oleh yang demikian, dapat membantu murid-murid dalam proses pembelajaran. Secara tidak langsung ini akan membantu murid-murid meningkatkan prestasi akademik mereka.
    Di samping itu, komputer memudahkan tugas kita. Banyak kerja dan tugasan kini dilakukan dengan bantuan komputer, seperti kerja-kerja penaipan, pelukisan grafik, dan penyediaan laporan. Komputer membolehkan kita menyiapkan kerja tersebut dengan mudah dan cepat. Bagi murid-murid, penggunaan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran sama ada di rumah mahupun di dalam kelas.

Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur dan papan hitam yang digunakan pada hari ini mungkin akan membosankan para murid yang dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat ini. Komputer, dengan konsep multimedia, iaitu gambar, bunyi dan warna, mampu menarik minat para pelajar. Sudah pastinya, setiap murid akan berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Justeru, akan memudahkan murid memahami sesuatu pelajaran kerana mereka mendapat gambaran yang tepat tentang sesuatu topik yang dipelajari.

Komputer juga mempunyai program untuk memperkembang bahasa, contohnya tesaurus. Murid-murid boleh belajar makna perkataan dan penggunaannya. Justeru, murid-murid akan bijak menyampaikan idea. Penulisan karangan juga akan menjadi lebih mantap dengan penggunaan kosa kata yang lebih meluas.

Kesimpulannya, komputer sangat berguna dalam kehidupan pada hari ini. Guru-guru dan juga murid-murid perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak menggunakan komputer sejak dari kecil lagi agar mereka dapat menggunakan teknologi komputer sebaik-baiknya supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi masa ini.

Saturday, June 15, 2013

KARANGAN UPSR : FAKTA : Disiplin Penentu Kejayaan

SOALAN : Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk 'Disiplin Penentu Kejayaan'.

          Anggapan bahawa orang yang berjaya adalah kerana mereka mempunyai pemikiran yang pandai sejak dilahirkan merupakan tanggapan yang silap. Orang yang berjaya sebenarnya mempunyai disiplin mengurus diri yang baik. Apabila pandai mengurus diri, pandailah pula mengurus orang.
          
          Mengapakah disiplin itu dikatakan penentu kejayaan ? Sebenarnya apabila seseorang itu berdisiplin, segala tugasan yang diamanahkan kepadanya, sama ada daripada guru, ibu bapa, dan juga majikan dapat dilakukan dengan sempurna. Jika tidak berdisiplin, biasanya sesuatu kerja atau tugasan akan bertangguh. Kemudian, kerja tersebut akan dilakukan dengan tergesa-gesa. Akhirnya kerja siap tetapi tidak seperti yang diharapkan.

          Setiap sekolah pastinya mempunyai murid yang tidak berdisiplin, seperti datang lewat, ponteng sekolah, melawan guru, tidak membuat latihan yang guru berikan dan sebagainya. Cuba kita kaji prestasi peperiksaan mereka. Sudah tentu pencapaian mereka dalam peperiksaan kurang memuaskan berbanding dengan pelajar yang berdisipin.
 
          Mereka yang tidak berdisiplin bukanlah mempunyai otak yang lemah.Kadang-kadang mereka yang tidak berdisiplin ini mempunyai kecerdasan otak yang lebih baik. Akan tetapi, akibat tidak memikirkan masa depan, peperiksaan yang ditempuhi menemui kegagalan.

          Jika sifat tidak berdisiplin ini diamalkan hingga dewasa, tiada majikan yang akan memberikan kepercayaan kepada mereka. Dalam kehidupan bermasyarakat pula, orang ramai tidak akan menghulurkan tali persahabatan. Ramai rakan-rakan dan sanak-saudara akan menjauhkan diri.

          Kesimpulannya, jelaslah bahawa disiplin itu asas kejayaan, bukan sahaja di sekolah, malah di tempat kerja atau dalam masyarakat.Oleh itu, pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah kepada pihak sekolah, perlulah beringat bahawa perjalanan hidup mereka masih jauh. Perjalanan yang jauh ini memerlukan kejayaan dalam pelajaran. Jika tidak berdisiplin, jangan bermimpi untuk meraih kejayaan itu.

Tuesday, July 31, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Faedah Memanfaatkan Perpustakaan

SOALAN : Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang faedah-faedah yang diperoleh jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan.






              Perpustakan adalah gedung ilmu.Di perpustakaan terdapat banyak buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, jurnal, dan lain-lain lagi. Di negara kita, perpustakaan awam terdapat di mana-mana sahaja untuk kemudahan orang ramai membaca. Ini kerana dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran. Perpustakaan banyak memberi faedah kepada kita.

             Sebagai murid, kita dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan dapat mengelakkan diri daripada bergaul dengan kacang hantu. Ini secara tidak langsung akan terhindar daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah.

            Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

            Di samping itu, sekiranya kita memanfaatkan perpustakaan, kita juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Oleh itu, wang yang mahu digunakan untuk membeli buku-buku tersebut bolehlah disimpan di dalam tabung. atau membeli barang keperluan yang lain.

            Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, kita perlu memanfaatkna perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan seperti komik, majalah dan sebagainya.

Tuesday, July 24, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah

SOALAN : Tulis sebuah karangan tentang " Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah"








           Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat. Antaranya ialah "Masa itu Emas", "Masa ialah Kehidupan" dan sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu sahaja.
          Masa dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita memenuhinya dengan melakukan hobi yang bermanfaat. Contohnya, bersukan, melancong, berekreasi, mengumpul setem dan sebagainya. Jika kita gunakan masa dengan hobi yang bermanfaat akan dapat memberikan kepuasan kepada kita.
         Selain itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan menziarahi sanak saudara, datuk dan nenek serta teman-teman. Selain dapat bersiar-siar, kita akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
         Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Pelbagai bahan bacaan dapat dibaca seperti buku rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Kita dapat mencedok ilmu dan maklumat sebanyak mungkin daripada bahan bacaan ini.
        Di samping itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah. Kita perlu faham situasi ibu bapa kita yang seharian penat bekerja. Oleh itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu sampah dan sebagainya, kita secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

       Kesimpulannya, kita sebagai manusia sewajarnya mendisiplinkan diri supaya tidak membuang masa begitu sahaja kerana masa sangat berharga. Oleh itu, uruslah masa dengan bijak.

Monday, July 23, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Kepentingan Kelas Tambahan


Murid-murid sekolah kini digalakkan mengikuti kelas tambahan.
Nyatakan Kepentingan mengikuti kelas tambahan.

           







  Kelas tambahan bermaksud kelas pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di luar waktu persekolahan atau ketima musim cuti sekolah.Ketika ini, kelas tambahan seakan-akan menjadi suatu kewajipan bagi mana-mana sekolah. Pihak ibu bapa pula beranggapan kelas tambahan ini perlu bagi meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak. 
              Kelas tambahan ini biasanya menjadi pilihan utama ibu bapa kerana kelas ini boleh diikuti oleh murid-murid secara percuma. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa. Tambahan pula, tenaga pengajarnya pula terdiri daripada guru-guru sekolah itu sendiri. 
             Selain itu, kelebihan kelas tambahan ialah guru boleh memberikan banyak latihan tambahan yang boleh meningkatkan keupayaan murid itu untuk menjawab soalan. Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi yang turut memberikan satu pengalaman kepada murid untuk menghadapi realiti peperiksaan sebenarnya. Pengalaman menjawab yang dialami dalam kelas tambahan berupaya memberikan satu keyakinan kepada murid tersebut dalam menghadapi peperiksaan pula. 
             Di samping itu, kelas tambahan yang dijalankan biasanya memberikan lebih kefahaman kepada murid-murid. Murid-murid yang lemah akan diberikan lebih tumpuan kerana kelas ini tidak menekankan silibus. Oleh itu, kelas tambahan banyak membantu murid-murid sederhana dan lemah untuk menguasai kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran.
             Malah, kelas tambahan juga memastikan murid-murid memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Kelas tambahan yang diadakan selepas waktu sekolah biasa menyukarkan murid-murid untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu. Ini dapat menghalang mereka terbabit dalam gejala yang tidak sihat seperti melepak dan menghabiskan masa menonton televisyen.
             Kesimpulannya, Kelas tambahan banyak menberikan manfaat. Oleh itu, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mengikuti kelas tambahan untuk memastikan masa depan mereka cerah.

Sunday, July 22, 2012

KARANGAN UPSR : Kepentingan Hutan



Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada kita. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Hutan sangat penting kepada kehidupan kita. Antaranya, hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Kita semua menggunakan air dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti mencuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.

Selain itu, Hutan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai flora dan fauna.Hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan. Ini secara tidak langsung mengekalkan kesimbangan ekosistem.

Sementara itu, hutan juga memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.

Hutan merupakan sumber rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba, rotan, kayu balak dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Amalan perubatan tradisional juga dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.
Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Wednesday, July 11, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Cara-cara menjaga Kesihatan Diri

SOALAN : Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
Tulis karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri.


Semua orang perlu menjaga kesihatan mereka sendiri supaya mereka dalam keadaan yang sihat dalam hidup mereka. Ada banyak cara untuk memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Cara yang laing mudah ialah seseorang itu perlu menjaga kebersihan diri. Aktiviti mandi dan memakain pakaian yang bersih serta memastikan kawasan sekeliling rumah bersih merupakan langkah yang paling praktikal untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Selain itu, pemakanan yang seimbang amat penting terutama makanan yang berzat. Makanan segera perlulah dijauhkan tetapi air hendaklah diambil dalam kuantiti yang banyak dalam sehari untuk menjamin kesihatan yang baik.

Malah, aktiviti bersenam juga mampu mengekalkan kadar kesihatan yang baik. Senaman memastikan peluh dikeluarkan bersama-sama toksik badan yang mampu memberikan seseorang itu tahap imunisasi yang tinggi terhadap sebarang serangan penyakit.

Seseorang itu juga perlulah bertemu dengan doktor mengikut jadual berkala. Pemeriksaan yang berjadual sebegini mampu mengesan penyakit ketika di peringkat awal lalu mudah menyembuhkannya dan nasihat doktor hendaklah dipatuhi selalu.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tanggung jawab yang harus dilaksanakan dengan penuh amanah. Kesihatan yang baik bukan sahaja menijmatkan kos perubatan seseorang itu tetapi memberikan satu kehidupan yang penuh ceria kepada diri dan keluarga.

Tuesday, June 12, 2012

Karangan Fakta : Faedah Bersukan


 Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan.Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.

            Salah satu daripada faedahnya ialah dapat menyihatkan tubuh badan.Apabila kita berakreasi seperti berbasikal,bermain badminton dan sebagainya,badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita.Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.


            Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.


            Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara bermanfaat.Sesi latihan  permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang.Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.


            Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah.Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara.Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah.Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.


        Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan.Marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

Monday, May 14, 2012

Karangan Fakta : Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum


Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak faedah.

     Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu.Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

     Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

     Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.


     Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesamakita.

     Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.

Friday, May 11, 2012

Karangan Fakta : Cara-cara Menghargai Guru

    Tugas guru ialah mengajar di sekolah.Guru mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Oleh itu, sebagai murid kita sewajarnya menghargai guru. Terdapat banyak cara untuk menghargai guru kita. 

     Antara cara untuk menghargai jasa guru ialah dengan menghormati mereka. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita.  Mereka mendidik kita supaya menjadi insan yang berguna. Contohnya, kita boleh mengucapkan salam apabila berjumpa dengan  guru. Kita juga tidak boleh sombong terhadap guru.

     Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Guru memberikan kerja sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Oleh itu, kita mesti menghantar kerja sekolah  mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Ini pastinya dapat membantu pelajar untuk membuat pembetulan.

     Kita juga boleh menghargai guru dengan cara  berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran. Contohnya, kita perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam kes-kes buli, gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, dan lain-lain. 

     Pelajar  boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei.

     Pelajar boleh  menghargai guru dengan mengenang jasa  guru.  Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Contohnya, kita boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei.Kita juga perlu menunjukkan kasih sayang kepada guru. Kita bolehlah menziarahi guru ketika mereka sakit. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.

     Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Ini kerana, jasa guru tidak ternilai harganya dalam melahirkan insan-insan yang berjaya, cemerlang dan gemilang.  

Wednesday, May 9, 2012

Faedah Menabung

        Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.

     Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit saku yang diberi oleh  ibu bapa dapat disimpan ke dalam tabung.

     Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.

     Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit, wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Contohnya, wang itu digunakan untuk membeli ubat-ubatan atau bil hospital. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika  ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. 

     Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Monday, April 16, 2012

Karangan Fakta : CARA-CARA BERJAYA DALAM PELAJARAN

Setiap murid sudah pastinya ingin berjaya dalam pelajaran. Murid yang berjaya dalam akademik lazimnya akan mempunyai pekerjaan yang baik pada masa hadapan. Terdapat beberapa cara untuk berjaya dalam pelajaran.

Jika ingin berjaya dalam pelajaran, murid mestilah mempunyai disiplin diri yang tinggi. Murid juga perlu ada jadual pembelajaran di rumah. Semasa di dalam kelas, beri sepenuh tumpuan kepada pengajaran guru. Selain itu sikap suka bertanya juga penting dalam proses pembelajaran.

Murid akan berjaya dalam pelajaran jika sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapa. Ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap anak-anak di rumah. Bantulah anak-anak memahami pelajarannya dan pastikan mereka menyiapkan kerja sekolah. Selain itu ibu bapa juga digalakkan untuk memberi hadiah dan kata-kata perangsang pada setiap pencapaian anak-anak dalam pelajaran.

Murid yang berjaya juga selalu mempunyai kawan yang baik. Hal ini kerana pengaruh rakan sebaya sangat besar kepada mereka. Pilihlah kawan yang inginkan kecemerlangan, bukannya kawan yang yang hanya inginkan keseronokan.

Murid akan berjaya dalam pelajaran jika mempunyai cita-cita yang jelas. Cita-cita yang dipilih akan menjadi satu cabaran kepada mereka untuk mencapainya. Mereka akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Selain itu, murid juga boleh menjadikan seseorang yang telah berjaya sebagai idola mereka.

Sesungguhnya, terdapat banyak cara untuk berjaya dalam pelajaran. Namun begitu, usaha dan kesungguhan perlu ada dalam diri murid jika mahu berjaya. Jangan mudah berputus asa jika gagal, sebaliknya terus berusaha dengan gigih.

Wednesday, March 7, 2012

Karangan Fakta: Faedah Membaca

Membaca jambatan ilmu. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Terdapat pelbagai bahan bacaan yang sesuai dibaca seperti surat khabar, majalah, buku cerita, komik dan lain-lain lagi. Bahan-bahan ini boleh didapati di perpustakaan ataupun membelinya di kedai buku.

Membaca dapat memberikan pelbagai faedah kepada kita. Antaranya membaca dapat menambah ilmu pengetahuan. Dengan membaca buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang seperti bidang sejarah, ekonomi, perubatan dan sebagainya, menjadikan kita pelajar yang berpengetahuan luas dan otak cair. Secara tidak langsung akan membantu kita menjadi pelajar yang cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru-guru.

Dengan membaca juga kita akan dapat mengetahui isu-isu semasa. Apabila kita membaca surat khabar, kita akan tahu berita semasa di dalam dan di luar negara. Contohnya berita tentang gempa bumi di Jepun, peperangan di Palestin, Banjir di Johor dan sebagainya.

Di samping itu, membaca juga dapat menghiburkan kita. Apabila kita berasa penat setelah menelaah pelajaran, kita boleh membaca buku-buku yang boleh menghiburkan kita seperti komik, majalah dan lain-lain lagi. Dengan itu, kita dapat menghilangkan rasa penat.

Seterusnya, membaca dapat mengisi masa lapang kita. Kita dapat mengelakkan diri kita daripada bergaul dengan kacang hantu atau kutu embun. Secara tidak langsung, kita tidak akan terjebak dengan gejala sosial seperti melepak, bergaduh, vandalisme dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, membaca amat penting kepada para pelajar. Oleh itu, kita haruslah tanamkan sikap suka membaca pada setiap masa. Rakyat yang suka membaca adalah rakyat yang berilmu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...