BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN
Showing posts with label KARANGAN UCAPAN. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN UCAPAN. Show all posts

Tuesday, July 30, 2013

KARANGAN UPSR : Ucapan Majlis Perpisahan Tahun Enam.


SOALAN ; Majlis Perpisahan Tahun Enam akan diadakan di dewan sekolah anda. Selaku ketua darjah, anda diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan tersebut.Sediakan teks ucapan selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Encik Zafran bin Faizal Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Tambun, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir enam tahun kami berada di Sekolah Kebangsaan Serti Tambun ini. Kini, hanya tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum kami meninggalkan sekolah ini untuk meneruskan persekolahan di sekolah menengah. Oleh sebab itu, dengan berat hatinya kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Saya mewakili semua murid Tahun 6 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa kalian yang telah mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan mengira. Pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara akan sentiasa kami ingati.

Hadirin sekalian .

Kami murid-murid Tahun 6 berasa amat bertuah kerana mendapat guru-guru yang begitu berdedikasi di sekolah ini. Hasilnya, pada tahun ini kami mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Seramai 20 orang murid telah mendapat keputusan 5A dan tidak ada seorangpun yang gagal walaupun dalam satu mata pelajaran. Ini pencapaian yang amat membanggakan. Kejayaan yang cemerlang ini sudah pastinya hasil titik peluh dan rasa tidak jemu guru-guru mendidik kami.

Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Jasa dan pengorbanan guru-guru tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berharap agar guru-guru doakan kami supaya terus memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.
Sekian, terima kasih.

Tuesday, July 3, 2012

KARANGAN UPSR (UCAPAN) : Ucapan Ketua Pengawas

SOALAN: Kamu baru sahaja dilantik sebagai ketua pengawas. Dalam majlis pelantikan pengawas, kamu telah diminta menyampikan ucapan. Sediakan teks ucapan itu selengkapnya.


Ucapan Ketua Pengawas yang baru dilantik.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakan seperjuangan. Hari ini ialah pelantikan pengawas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pengawas yang dipilih oleh pihak sekolah.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan.Saya amat terharu dengan pelantikan sebagai ketua pengawas sekolah. Saya akan memikul tenggungjawab ini mulai hari ini.

Sebagai ketua pengawas, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Setiap arahan pihak sekolah dan guru disiplin tidak akan saya pandang ringan. Hal ini penting demi meningkatkan tahap disiplin sekolah.

Oleh hal yang demikian, saya memohon kerjasama daripada semua pihak dalam menjadikan sekolah kita lebih selamat dan ceria. Setiap pelajar diminta melaporkan masalah disiplin pelajar kepada pengawas. Hal ini penting agar pelaksanaan denda dapat dijalankan oleh pihak pentadbiran dengan tujuan untuk memberi pengajaran dan pendidikan.

Sebagai ketua pengawas dan pengawas yang baru dilantik, saya dan rakan-rakan pengawas masih belajar. Saya berharap pihak sekolah akan menegur kami jika melakukan kesalahan. Dengan ini, saya akan mengambil iktibar daripadanya untuk memperkasakan lembaga pengawas sekolah.

Hadirin yang saya hormati,
Saya berharap sekolah kita akan terus mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Dengan mendisiplinkan diri, kita dapat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin menyampaikan sebuah pantun sebagai penghias bicara hari ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami pengawas baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...