BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Tuesday, November 6, 2012

SOALAN : Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan mengadakan pertandingan syarahan. Guru kelas kamu telah memilih kamu sebagai wakil kelas untuk menyertai pertandingan tersebut. Tajuk yang diberikan ialah "Belajar Secara Berkumpulan Lebih Baik daripada Belajar Secara Bersendirian". Sediakan teks syarahan kamu selengkapnya. 
________________________________________________________________________

Yang dihormati Tuan  Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi. Berdirinya saya di sini untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Belajar Berkumpulan Lebih Baik Daripada Belajar Bersendirian.

Hadirin yang saya hormati sekalian,
Menurut Kamus Dewan, belajar bererti menuntut ilmu dan menimba ilmu pengatahuan. Manakala berkumpulan pula membawa maksud, beberapa orang individu berbincang sesama sendiri untuk mendapatkan sesuatu ilmu pengetahuan. Secara kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa berlajar berkumpulan adalah sekumpulan individu menuntut ilmu bersama-sama.
Setiap pelajar mempunyai kaedah belajar tesendiri. Kita pelu memilih kaedah dan teknik belajar yang paling berkesan dan mudah. Belajar secara berkumpulan lebih baik kerana banyak idea dan buah fikiran dapat dikongsikan pada satu-satu masa. Idea atau pendapat yang diketengahkan itu dapat digabungjalinkan menjadi satu pendapat yang sangat bernas. Berbeza dengan belajar bersendirian, idea atau pendapat hanya tetumpu pada seseorang individu sahaja.
Selain itu, belajar berkumpulan dapat membentuk satu pasukan yang mantap. Pelajar yang lemah boleh meminta bantuan daripada rakan yang lebih bijak. Mereka juga akan dapat mengetahui maklumat dengan lebih cepat. Perkongsian ilmu ini sudah pastinya juga akan mengurangkan kos membeli bahan-bahan bacaan dan latihan kerana pelajar juga boleh berkongsi buku rujukan bersama-sama.
Di samping itu, belajar secara berkumpulan juga boleh mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Semua pelajar dapat berbincang tentang pelajaran dalam suasana yang menyeronokkan. Secara tidak langsung akan tersemainya nilai-nilai murni seperti bejkerjasama, tolong-menolong dan setiakawan.Ini kerana kerja berkumpulan diistilahkan sebagai berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Segala susah dan senang dalam kumpulan akan dihadapi bersama-sama.
Belajar secara berkumpulan juga dapat menilai tahap pencapaian diri sendiri. Ini dapat mewujudkan persainagn lebih sihat dalam kalangan murid. Secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi murid-murid untuk belajar. Murid-murid akan lebih berdisiplin dan berusaha dengan gigih untuk mencapai impian. 
 
 Hadirin hadirat yang dihormati,
            Berdasarkan hujah-hujan yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa belajar berkumpulan adalah lebih baik daripada belajar bersendirian. Oleh itu, untuk menjadi murid yang cemerlang dalam akademik, belajar secara berkumpulan perlu dijadikan amalan yang terancang.

           Sekian, terima kasih.

Monday, November 5, 2012



SOALAN : Kamu akan menyertai suatu pertandinagn syarahan di sekolah. Tajuk syarahan tersebut ialah "Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum". Sediakan syarahan itu selengkapnya.
________________________________________________________________________________

           Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk "Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum".

Hadirin yang dihormati,

            Kokurikulum dapat didefinasikan aktiviti yang dijalankan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Aktiviti kokurikulum melibatkan pelbagai aktiviti seperti unit beruniform, permainan dan persatuan. Antara unit beruniform yang ada ialah pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, Tunas Kadet Remaja Sekolah, Puteri Islam dan sebagainya. Manakala Persatuan pula terdiri daripada Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Matematik, persatuan Sains dan sebagainya.

            Kegiatan kokurikum sangat penting kepada murid-murid. Sekiranya mereka aktif dalam kegiatan kokurikulum, mereka dapat menambahkan pengetahuan dan meluaskan pengalaman kendiri yang tidak dipelajari di dalan kelas. Contohnya pengetahuan dan pengalaman berkaitan perkhemahan dan sebagainya.

            Selain itu, kegiatan kokurikulum juga menjadi medan kepada guru-guru mencungkil bakat murid-murid untuk diketengahkan dalam pelbagai pertandingan. Secara tidak langsung, murid-murid juga memperoleh manfaatnya kerana mereka boleh mengembangkan lagi potensi mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

           Penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum juga dapat mengelakkan mereka daripada membuang masa melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Juga dapat mengelakkan mereka daripada bergaul dengan kacang hantu. Secara tidak langsung akan dapat mengekang mereka daripada melakukan gejala negatif seperti merempit, dadah, vandalisme, gensterime dan sebagainya.

Hadirin yang dihormati,
 
         Berdasarkan hujah-hujah yang dinyatakan, jelaslah bahawa kegiatan kokurikulum sangat penting dan membawa kebaikan kepada murid-murid. Saya menyeru kepada rakan-rakan agar melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum kerana banyak faedah yang akan kita peroleh.

         Sekian, terima kasih.

Thursday, October 4, 2012

KARANGAN UPSR : Cara-cara Membalas Jasa Ibu Bapa

SOALAN : Anak yang baik akan sentiasa membalas jasa ibu bapanya. Berikan pendapat kamu, cara-cara yang patut dilakukan untuk membalas jasa kedua-dua orang tua kita.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

               Setiap insan sudah pastinya mempunyai ibu bapa. Sesudah sembilan bulan dikandung ibu, dengan izin Allah, kitapun dilahirkan. Sesudah lahir, kita dijaga dengan penuh kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh.
               Sebagai anak, kita sewajarnya membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk membalas jasa mereka. Antaranya, kita perlu belajar bersungguh-sungguh. Kejayaan yang cemerlang dalam UPSR sudah tentu mampu menggembirakan ibu bapa kita. Sesungguhnya setiap ibu bapa inginkan anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaran boleh menentukan masa depan kita.
               Kita juga sebagai anak yang baik sewajarnya mempamerkan tingkah laku yang mulia. Apabila bertutur dengan ibu bapa, elakkan bercakap kasar. Segala nasihat mereka perli didengar dengan teliti dan diikuti sebagai pedoman hidup. Kita janganlah menyinggung perasaan mereka dengan tingkah laku kita yang boleh menyebabkan hati mereka sakit, bagai dihiris dengan sembilu.
               Kita juga haruslah bersikap tangan terbuka membantu mereka. Seharian mereka bekerja untuk mencari nafkah menanggung kita sekeluarga. Dengan sikap kita yang suka membantu ibu bapa, sudah pastinya akan meringankan beban mereka yang sudah penat bekerja. Kita boleh membantu mereka mengemas rumah, memasak, menyiram pokok bunga dan sebagainya.
               Sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa menyediakan keperluan asas kepada kita. Namun, sebagai anak yang baik, kita janganlah mendesak mereka memenuhi apa yang kita inginkan. Contohnya, kita mendesak mereka membeli komputer, pakaian yang mahal-mahal dan sebagainya. Kita janganlah membandingkan kemampuan ibu bapa kita dengan kemampuan orang lain. Kita sepatutnya perlu ukur baju dibadan sendiri, agar kita tidak dianggap seperti kacang lupakan kulit.
                Sesungguhnya, pengorbanan ibu bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Segala perit jerih mereka membesarkan kita seharusnya dihargai. Oleh itu, kita perlu sedaya upaya berusaha untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka.

Tuesday, July 31, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Faedah Memanfaatkan Perpustakaan

SOALAN : Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang faedah-faedah yang diperoleh jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan.






              Perpustakan adalah gedung ilmu.Di perpustakaan terdapat banyak buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, jurnal, dan lain-lain lagi. Di negara kita, perpustakaan awam terdapat di mana-mana sahaja untuk kemudahan orang ramai membaca. Ini kerana dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran. Perpustakaan banyak memberi faedah kepada kita.

             Sebagai murid, kita dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan dapat mengelakkan diri daripada bergaul dengan kacang hantu. Ini secara tidak langsung akan terhindar daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah.

            Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

            Di samping itu, sekiranya kita memanfaatkan perpustakaan, kita juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Oleh itu, wang yang mahu digunakan untuk membeli buku-buku tersebut bolehlah disimpan di dalam tabung. atau membeli barang keperluan yang lain.

            Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, kita perlu memanfaatkna perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan seperti komik, majalah dan sebagainya.

Saturday, July 28, 2012

KARANGAN UPSR (syarahan) Faedah Makan Buah-buahan Tempatan

 
 SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberikan ialah "Faedah Makan Buah-buahan Tempatan". Tuliskan teks syarahan kamu itu selengkapnya. 




                Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru, serta rakan- rakan sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan.
Pada pagi yang mulia ini, saya ingin menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk ‘’Faedah makan buah-buahan tempatan’’.

Para hadirin yang dihormati,
               Definisi buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang dikeluarkan dalam sesebuah negara. Sebagai contoh, buah-buahan tempatan negara kita ialah rambutan, manggis, durian, tembikai dan sebagainya. Buah-buahan tempatan banyak mengandungi khasiat yang setanding dengan buah-buahan yang diimport. Contohnya, buah jambu batu mengandungi vitamin C dan buah limau mengandungi asid yang boleh menghadamkan makanan yang kita makan.
             Buah-buahan tempatan juga mudah didapati kerana hasil dari dalam negara kita. Dusun-dusun buah-buahan dimerata tempat di negara kita ini membekalkan pelbagai jenis buah-buahan yang bermutu tinggi. Buah-buahan tempatan didapati lebih segar dan tidak mengandungi bahan pengawet. Buah-buahan ini banyak dijual di gerai buah-buahan di seluruh negara.
             Selain daripada itu, harga buah-buahan tempatan juga jauh lebih murah jika dibandingkan dengan buah-buahan import. Ini kerana buah-buahan tempatan tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dipasarkan seperti kos pengangkutan berbanding buah-buahan yang diimport.
             Buah-buahan tempatan juga telah pun berjaya dieksport keluar negara. Contohnya buah nanas yang ditinkan telah dieksport keluar negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan buah-buahan tempatan juga digemari dan dipercayai daripada segi mutunya.
             Kesimpulannya, mengambil buah-buahan tempatan sangat banyak faedahnya. Selain segar, murah, berkhasiat dan bermutu, mengambil buah-buahan tempatan juga dapat meningkatkan pendapatan para petani, seterusnya menjana perkembangan ekonomi negara kita. Oleh itu, makanlah buah-buahan tempatan sebagai buah-buahan pilihan kita.
            Sekian, terima kasih.

Thursday, July 26, 2012

KARANGAN UPSR (syarahan) "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid"

SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberi ialah "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid". Tulis syarahan itu selengkapnya.
........................................................................................................




           Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk, "Kebersihan Sekolah Tanggungjawab Murid".
        
Hadirin Sekalian,
           Sekolah yang bersih menjadi impian para guru dan murid-murid. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh semua pihak untuk memastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan bersih.Antara aktiviti yang sering dijalankan ialah pertandingan kelas terbersih. Selain dapat mewujudkan suasana kelas yang ceria, usaha ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid.
           Meskipun ada pekerja yang ditugaskan membersihkan kawasan sekolah murid-murid tidak wajar meletakkan tanggungjawab ini kepada mereka semata-mata. Sebagai murid, kita perlu sedar bahawa kawasan yang perlu dibersihkan oleh pekerja itu terlalu luas. Oleh itu, tidak salah jika kita turut sama membantu mereka.
           Segala kemudahan seperti penyapu dan tong sampah yang mencukupi telah disediakan di dalam setiap kelas. Sebagai murid yang bertanggungjawab, segala kotoran dan sampah-sampah perlu disapu dan dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan.
           Sekolah dan kelas yang bersih juga memberi impak kepada pembelajaran murid-murid. Sekiranya persekitaran kotor, keadaan ini akan menzahirkan pemandangan yang kurang enak. Hal ini menyebabkan kita gagal menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tidakkah itu merugikan diri kita sendiri ?
       
Hadirin sekalian,
           Akhir sekali saya ingin menyeru kepada rakan-rakan, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekolah. Sesungguhnay menjaga kebersihan merupakan ibadah yang mulia dan harus dimanfaatkan oleh setiap insan.
         Sekian, terima kasih.


Wednesday, July 25, 2012

Anda Ingin Menulis Karangan Catatan


TIP PENULISAN BERKESAN

• Karangan jenis catatan harian ini ialah catatan penulis tentang peristiwa yang dialami atau dilalui oleh penulis.

• Catatan Harian dikenali juga sebagai diari.

• Terbahagi kepada dua bentuk , itu catatan sehari dan catatan beberapa hari.

• Jika sehari, sertakan haribulan , hari , dan waktu berlakunya sesuatu aktiviti atau peristiwa.

• Jika catatan beberapa hari, sertakan hari, haribulan, dan waktu jika perlu.

• Waktu peristiwa atau aktiviti yang dicatat merupakan perkara penting yang berkaitan dengan tajuk.

• Cara penulisan karangan jenis catatan ini seperti sebuah cerita. Urutan peristiwa atau aktiviti perlu disesun agar menimbulkan daya tarikan untuk mengetahui peristiwa selanjutnya.


Tuesday, July 24, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah

SOALAN : Tulis sebuah karangan tentang " Cara Menggunakan Masa dengan Berfaedah"








           Pelbagai istilah tentang masa yang kita dengar atau lihat. Antaranya ialah "Masa itu Emas", "Masa ialah Kehidupan" dan sebagainya. Ini menunjukkan masa sangat penting dalam kehidupan kita kerana masa yang berlalu tidak dapat diganti. Oleh itu, kita harus bijak mengurus masa supaya tidak membazir begitu sahaja.
          Masa dapat digunakan dengan berfaedah apabila kita memenuhinya dengan melakukan hobi yang bermanfaat. Contohnya, bersukan, melancong, berekreasi, mengumpul setem dan sebagainya. Jika kita gunakan masa dengan hobi yang bermanfaat akan dapat memberikan kepuasan kepada kita.
         Selain itu, kita dapat gunakan masa yang terluang dengan menziarahi sanak saudara, datuk dan nenek serta teman-teman. Selain dapat bersiar-siar, kita akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.
         Aktiviti yang paling bermanfaat untuk mengisi masa lapang ialah membaca. Pelbagai bahan bacaan dapat dibaca seperti buku rujukan, surat khabar, novel, majalah, jurnal dan sebagainya. Kita dapat mencedok ilmu dan maklumat sebanyak mungkin daripada bahan bacaan ini.
        Di samping itu, kita dapat menggunakan masa yang terluang dengan membantu ibu bapa membuat kerja-kerja rumah. Kita perlu faham situasi ibu bapa kita yang seharian penat bekerja. Oleh itu, jika kita membantu mereka mengemas rumah, menyapu sampah dan sebagainya, kita secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka. Kita juga akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

       Kesimpulannya, kita sebagai manusia sewajarnya mendisiplinkan diri supaya tidak membuang masa begitu sahaja kerana masa sangat berharga. Oleh itu, uruslah masa dengan bijak.

Monday, July 23, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Kepentingan Kelas Tambahan


Murid-murid sekolah kini digalakkan mengikuti kelas tambahan.
Nyatakan Kepentingan mengikuti kelas tambahan.

           







  Kelas tambahan bermaksud kelas pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di luar waktu persekolahan atau ketima musim cuti sekolah.Ketika ini, kelas tambahan seakan-akan menjadi suatu kewajipan bagi mana-mana sekolah. Pihak ibu bapa pula beranggapan kelas tambahan ini perlu bagi meningkatkan prestasi pelajaran anak-anak. 
              Kelas tambahan ini biasanya menjadi pilihan utama ibu bapa kerana kelas ini boleh diikuti oleh murid-murid secara percuma. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa. Tambahan pula, tenaga pengajarnya pula terdiri daripada guru-guru sekolah itu sendiri. 
             Selain itu, kelebihan kelas tambahan ialah guru boleh memberikan banyak latihan tambahan yang boleh meningkatkan keupayaan murid itu untuk menjawab soalan. Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi yang turut memberikan satu pengalaman kepada murid untuk menghadapi realiti peperiksaan sebenarnya. Pengalaman menjawab yang dialami dalam kelas tambahan berupaya memberikan satu keyakinan kepada murid tersebut dalam menghadapi peperiksaan pula. 
             Di samping itu, kelas tambahan yang dijalankan biasanya memberikan lebih kefahaman kepada murid-murid. Murid-murid yang lemah akan diberikan lebih tumpuan kerana kelas ini tidak menekankan silibus. Oleh itu, kelas tambahan banyak membantu murid-murid sederhana dan lemah untuk menguasai kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran.
             Malah, kelas tambahan juga memastikan murid-murid memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Kelas tambahan yang diadakan selepas waktu sekolah biasa menyukarkan murid-murid untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu. Ini dapat menghalang mereka terbabit dalam gejala yang tidak sihat seperti melepak dan menghabiskan masa menonton televisyen.
             Kesimpulannya, Kelas tambahan banyak menberikan manfaat. Oleh itu, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mengikuti kelas tambahan untuk memastikan masa depan mereka cerah.

Sunday, July 22, 2012

KARANGAN UPSR : Kepentingan Hutan



Hutan merupakan anugerah daripada Tuhan. Anugerah ini memang tidak ternilai kepada kita. Oleh sebab itu, alam ini wajar dipelihara sebelum terlambat kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Hutan sangat penting kepada kehidupan kita. Antaranya, hutan dapat dijadikan kawasan tadahan air hujan. Kita semua menggunakan air dalam pelbagai aspek kehidupan harian seperti mencuci, memasak dan lain-lain. Oleh sebab itu, hutan menjadi nadi kehidupan kepada penduduk bumi.

Selain itu, Hutan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai flora dan fauna.Hutan dapat menyelamatkan flora dan fauna kerana kepupusan flora dan fauna berkait rapat dengan hutan. Ini secara tidak langsung mengekalkan kesimbangan ekosistem.

Sementara itu, hutan juga memainkan peranan sebagai pengawal pemanasan global. Pemanasan global berlaku kerana pencemaran dan sikap manusia yang tidak cinta akan alam sekitar. Oleh hal yang demikian, tahap kepanasan di muka bumi ini dapat dikurangkan agar kita tidak berpanas.

Hutan merupakan sumber rezeki, terutamanya Orang Asli. Oleh itu, hasil hutan seperti herba, rotan, kayu balak dan ubat-ubatan dapat terus dicari dengan kewujudan hutan. Amalan perubatan tradisional juga dapat diperkembangkan jika hutan dijaga dengan baik.
Kesimpulannya, hutan wajib dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap penduduk bumi. Hutan dapat memberi ketenangan jiwa kepada kita dengan hutan yang malar hijau. Oleh itu, kawasan hutan mestilah diperluas dan dipulihara demi masa depan semua.

Friday, July 20, 2012

KARANGAN UPSR (catatan) Bercuti Di kampung

SOALAN : Kamu telah pulang ke kampung sempena cuti persekolahan. Tulis catatan tentang aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di kampung.





Selasa, 1 Julai 2012
Aku , adik dan abang menaiki bas ekspres Transnasional menuju ke kampung datuk di Kampung Sungai Dalam, Johor. Ayah dan ibu berpesan kepada kami bertiga agar menjaga keselamatan diri dan berhati-hati sepanjang perjalanan dan ketika berada di kampung. Kami akan bercuti di kampung selama seminggu.

Rabu, 2 Julai 2012
Sejak awal pagi lagi datuk telah mengajak aku dan abang aku ke dusun. Kebetulan pada ketika ini musim buah-buahan. Aku dan abang menaiki basikal menuju ke dusun manakala adik pula menemani nenek di rumah. Buah rambutan yang kemerah-merahan menghiasi pokok di kiri dan kanan jalan. Meskipun banyak nyamuk, namun aku tidak mengendahkannya kerana seronok berlumba dengan abang mencari buah durian yang gugur. Semua buah durian yang dikutip dikumpulkan di dalam bakul untuk dijual kepada peraih. Bakinya dibawa balik ke rumah sebagai habuan untuk kami bertiga.

Khamis, 3 Julai 2012
Datuk membawa kami ke sungai untuk menjala ikan. Aku membawa belas ikan yang diperbuat daripada rotan untuk mengisi ikan-ikan yang berjaya di tangkap. Setelah dua jam menjala, datuk berjaya menangkap beberapa jenis ikan seperti ikan lampam, seluang,dan baung. Aku menyuruh nenek memasak gulai kegemaranku iaitu ikan baung masak tempoyak.

Jumaat, 4 Julai 2012
Jiran datuk akan mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya pada esok hari. Aku dan abang turut menyusun kerusi meja dan mendirikan khemah. Jiran-jiran yang lain juga turut membantu. Aku sungguh seronok melihat kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk kampung ini.

Sabtu, 5 Julai 2012
Kami bersiap-siap untuk pulang semula ke bandar. Aku gembira kerana akan berjumpa dengan ibu dan bapaku. Namun, aku juga sedih untuk meninggalkan datuk dan nenek di kampung. Sebelum menaiki teksi, kami bersalam dan memeluk datuk dan nenek erat-erat. Air mata mula membasahi pipi nenek. Aku berjanji akan pulang lagi ke kampung pada cuti persekolahan yang akan datang.

Thursday, July 19, 2012

KARANGAN UPSR (CERITA) Tindakan Apabila Rakan Tercedera

SOALAN :: Kamu dan rakan-rakan kamu sedang menyiapkan tugasan di Bilik Kemahiran Hidup. Tiba-tiba salah seorang daripada rakan kamu tercedera kerana terkena benda tajam. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan.
  






  Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas Kemahiran Hidup. Tiba-tiba seorang rakanku tercedera akibat terkena pahat. Pada waktu itu, Cikgu Ali iaitu guru Kemahiran Hidup kami pergi ke tandas.
     Justeru, aku terus ke bilik guru untuk memberitahu guru tentang kejadian itu. Aku turut mendapatkan peti pertolongan cemas yang terletak di situ. Kami bergegas ke bilik Kemahiran Hidup.
     Pada mulanya aku menyapu ubat antiseptik untuk membunuh kuman yang terdapat pada luka tersebut. Kemudian, aku membalut luka tersebut mengikut cara yang aku pelajari semasa aku menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah pada tahun lalu.
     Selepas itu, aku dan guruku memapah rakanku ke bilik rehat dan menelefon kedua-dua ibu bapa rakanku untuk memaklumkan mereka tentang peristiwa tersebut. Kemudian, kami membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
     Beberapa minggu kemudian, luka rakanku semakin pulih. Dia berterima kasih atas pertolongan yang aku berikan semasa dia tercedera di Bilik Kemahiran Hidup tempoh hari. Aku bersyukur kerana luka kawanku tidak serius dan sudah semakin pulih.
     Dia berjanji akan mematuhi segala peraturan semasa berada di Bilik kemahiran Hidup dan berhati-hati ketika menggunakan benda-benda yang tajam semasa pengajaran dan pembelajaran.

Wednesday, July 18, 2012

KARANGAN UPSR (Syarahan) : Kebaikan Menggunakan Komputer

SOALAN : 
komputer amat berguna kepada kita.
Tulis syarahan bertajuk "Kebaikan Menggunakan Komputer"










                  Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang bijaksana, guru-guru, dan rakan sekalian. Pada pagi ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk "Kebaikan Menggunakan Komputer".

Hadirin sekalian,
                 Komputer adalah alat elektronik yang banyak digunakan pada masa kini. Di Malaysia, penggunaan komputer begitu popular tidak kira peringkat usia sama ada murid sekolah, pelajar universiti atau pun yang sudah bekerja. Komputer banyak mempunyai kebaikan jika digunakan dengan betul.
                 Kita akan dapat melakukan kerja dengan lebih senang dan cepatjika kita menggunakan komputer. Kita juga boleh menjimatkan ruang untuk menyimpan maklumat yang banyak. Hal ini demikian kerana kita tidak memerlukan tempat yang luas untuk menyimpan fail yang banyak seperti yang dilakukansebelum ini. Kita hanya perlu menyimpan segala maklumat itu di dalam komputer. Pengurusan menyimpan fail dalam komputer juga lebih tersusun dengan pengurusan 'folder' yang bijak.
                  Selain itu, kita juga dapat melakukan pelbagai jenis kerja dengan komputer. Antaranya menaip, melukis dan mengira. Hasil kerja kita juga akan menjadi lebih baik dan tepat. Bahkan, kita juga dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membeli pelbagai peralatan untuk membuat pelbagai jenis kerja.

Hadirin sekalian,
                  Di samping itu, kita dapat menambah kenalan dari dalam atau luar negara melalui perkhidmatan internet. Perkhidmatan internet juga dapat menjimatkan masa kerana kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari maklumat tentang sesuatu perkara.
                  Oleh itu, semua orang mesti belajar menggunakan komputer. Kita akan mendapat faedah yang banyak dengan menggunakannya. Kita juga akan dapat mengejar kemajuan jika kita menggunakan komputer dalam kehidupan seharian. Sekian sahaja syarahan saya. Terima kasih.

Monday, July 16, 2012

KARANGAN UPSR (keperihalan) Cara-cara Menjaga Keselamatan Diri di Sekolah

Kepentingan / cara-cara menjaga keselamatan diri di sekolah

Rangka Karangan

Pendahuluan
~ Menjaga keselamatan diri di sekolah penting untuk mengelakkan kemalangan
~ malang tidak berbau

Isi 1
* Di dalam bilik darjah
~ elakkan berlari / bertolak-tolakan / bergaduh
~ tidak bermain barangan yang boleh membahayakan diri seperti barangan elaktrik, cermin tingkap dan sebagainya.

Isi 2
* Di bilik khas
~ berhati-hati menggunakan bahan / alatan
~ makmal sains - alatan / radas dalam makmal
~ bilik kemahiran hidup - berhati-hati menggunakan alatan seperti gergaji, penukul dan lain-lain.

Isi 3
* kawasan kantin
~ beratur ketika membeli makanan - jangan berebut - tertumpah makanan / minuman panas
~ elakkan berlari - lantai mungkin licin dan berminyak

Isi 4
* Kawasan persekitaran
~ tidak bermain di kawasan sunyi seperti di belakang bangunan
~ tidak berlari - terjatuh longkang
~ tidak memanjat tiang gol - ketika bermain di padang, berhati-hati dan ikut peraturan.

Penutup
~ semua pihak bertanggungjawab menjaga keselamatan
~ pihak sekolah memastikan kawasan / peralatan / kemudahan yang disediakan adalah selamat untuk digunakan.
~ murid-murid perlu sentiasa berhati-hati dan ikut peraturan.


Friday, July 13, 2012

Thursday, July 12, 2012

Cakap Ajuk dan Cakap Pindah

~ Cakap ajuk dan cakap pindah ialah percakapan yang dilaporkan semula secara lisan atau tulisan tanpa mengubah maksudnya.

Cakap Ajuk
~ Cakap ajuk ialah percakapan yang dilaporkan semula sebagimana asalnya dituturkan.
~Tidak ada sebarang pindaan yang dilakukan.
~Cakap ajuk dimulakan dengan tanda pembuka kata dan diakhiri dengan tanda penutup kata. (".....")

Cakap Pindah
~ Cakap pindah ialah perkataan atau percakapan yang dilaporkan semula tetapi tidak sebagaimana yang dituturkan.
~ Terdapat perbezaan struktur atau susunan perkataan-perkataan dalam ayat.
~ Walau bagaimanapun, maksud atau susunan perkataan adalah sama.

Contoh
Cakap Ajuk
1. " Datanglah ke rumah saya malam esok, Kumar," kata Amar.
2. " Cuci pakaian kamu," kata kakak kepada Aminah.
3.   Cikgu Adli berkata, " Mengapa awak tidak datang semalam, Asrol?"

Cakap Pindah
1. Amar mempersilakan Kumar ke rumahnya pada malam esok.
2. Kakak menyuruh Aminah mencuci pakaiannya.
3. Cikgu Adli bertanya kepada Asrol sebab dia tidak datang semalam.

* Apabila cakap pindah ditukarkan daripada cakap ajuk, beberapa perkara di bawah perlu diubah.

Cakap Ajuk ...... Cakap Pindah
1. aku, saya, hamba ....... ia, dia, -nya, beliau
2. beta ..... baginda
3. kita, kami ..... mereka
4. mereka ..... mereka
5. beliau ...... beliau
6. dia ..... dia
7. awak, kamu, engkau, anda ..... saya, dia, -nya
8. itu .... itu
9. ini ..... itu
10. sini .... situ, sana, tempat itu
11. sekarang .... ketika itu, masa itu
12. hari ini ... hari itu

Wednesday, July 11, 2012

KARANGAN UPSR (fakta) : Cara-cara menjaga Kesihatan Diri

SOALAN : Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
Tulis karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri.


Semua orang perlu menjaga kesihatan mereka sendiri supaya mereka dalam keadaan yang sihat dalam hidup mereka. Ada banyak cara untuk memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Cara yang laing mudah ialah seseorang itu perlu menjaga kebersihan diri. Aktiviti mandi dan memakain pakaian yang bersih serta memastikan kawasan sekeliling rumah bersih merupakan langkah yang paling praktikal untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Selain itu, pemakanan yang seimbang amat penting terutama makanan yang berzat. Makanan segera perlulah dijauhkan tetapi air hendaklah diambil dalam kuantiti yang banyak dalam sehari untuk menjamin kesihatan yang baik.

Malah, aktiviti bersenam juga mampu mengekalkan kadar kesihatan yang baik. Senaman memastikan peluh dikeluarkan bersama-sama toksik badan yang mampu memberikan seseorang itu tahap imunisasi yang tinggi terhadap sebarang serangan penyakit.

Seseorang itu juga perlulah bertemu dengan doktor mengikut jadual berkala. Pemeriksaan yang berjadual sebegini mampu mengesan penyakit ketika di peringkat awal lalu mudah menyembuhkannya dan nasihat doktor hendaklah dipatuhi selalu.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tanggung jawab yang harus dilaksanakan dengan penuh amanah. Kesihatan yang baik bukan sahaja menijmatkan kos perubatan seseorang itu tetapi memberikan satu kehidupan yang penuh ceria kepada diri dan keluarga.

Friday, July 6, 2012

KARANGAN UPSR (Cerita) : Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan

SOALAN : Setiap orang pastinya ada sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tulis sebuah karangan tentang pengalaman yang tidak dapat kamu lupakan.

Contoh Jawapan


            Apabila disebut nama Aiman, semua kawan kenal akan nama itu. Aku dikatakan sebagai seorang yang keras kepala. Memang benar gelaran tersebut diberikan kepadaku kerana aku jarang-jarang mendengar nasihat, meskipun nasihat ibuku sendiri.
           Pada suatu hari, aku merayau-rayau di sekitar kampung. Aku terpandang akan beberapa biji mangga yang telah masak di kebun jiranku. Tanpa membuang masa, aku pun segera memanjat pohon mangga itu. Aku tidak meminta kebenaran daripada empunya kebun itu.
          Tanpa aku duga, rupa-rupanya terdapat sarang tebuan pada pohon mangga itu. Dengan tidak sengaja aku merosakkan sarang itu. Sebagai akibatnya, beberapa ekor tebuan menyengat badanku. Terpaksalah aku terjun dari atas pohon mangga ilu untuk menyelamatkan diri.
          Aku menjerit meminta pertolongan. Mujurlah, orang-orang kampung terdengar akan jeritanku. Mereka segera memberikan bantuan.
          Aku dihantar ke hospital. Aku terpaksa tinggal di wad selama lima hari. Aku berasa terseksa kerana terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat.
          Aku kesal atas peristiwa yang terjadi pada diriku. Aku menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibuku. Semenjak hari itu, aku berjanji tidak mahu mencuri lagi. Peristiwa tersebut akan aku kenang selagi hayat dikandung badan.

Thursday, July 5, 2012

Wednesday, July 4, 2012

KARANGAN UPSR (Syarahan) : Faedah Bergotong-royong

Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong:.

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Ada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.

Hadirin sekalian,

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri dahulu.
Sekian, terima kasih.

Tuesday, July 3, 2012

KARANGAN UPSR (UCAPAN) : Ucapan Ketua Pengawas

SOALAN: Kamu baru sahaja dilantik sebagai ketua pengawas. Dalam majlis pelantikan pengawas, kamu telah diminta menyampikan ucapan. Sediakan teks ucapan itu selengkapnya.


Ucapan Ketua Pengawas yang baru dilantik.

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, guru-guru, dan rakan seperjuangan. Hari ini ialah pelantikan pengawas. Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pengawas yang dipilih oleh pihak sekolah.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan.Saya amat terharu dengan pelantikan sebagai ketua pengawas sekolah. Saya akan memikul tenggungjawab ini mulai hari ini.

Sebagai ketua pengawas, saya akan menjalankan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Setiap arahan pihak sekolah dan guru disiplin tidak akan saya pandang ringan. Hal ini penting demi meningkatkan tahap disiplin sekolah.

Oleh hal yang demikian, saya memohon kerjasama daripada semua pihak dalam menjadikan sekolah kita lebih selamat dan ceria. Setiap pelajar diminta melaporkan masalah disiplin pelajar kepada pengawas. Hal ini penting agar pelaksanaan denda dapat dijalankan oleh pihak pentadbiran dengan tujuan untuk memberi pengajaran dan pendidikan.

Sebagai ketua pengawas dan pengawas yang baru dilantik, saya dan rakan-rakan pengawas masih belajar. Saya berharap pihak sekolah akan menegur kami jika melakukan kesalahan. Dengan ini, saya akan mengambil iktibar daripadanya untuk memperkasakan lembaga pengawas sekolah.

Hadirin yang saya hormati,
Saya berharap sekolah kita akan terus mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Dengan mendisiplinkan diri, kita dapat berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Saya ingin menyampaikan sebuah pantun sebagai penghias bicara hari ini.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Kami pengawas baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Sekian, terima kasih.

Monday, July 2, 2012

KARANGAN UPSR : Anda Ingin Menulis Karangan Berita

~ Karangan berita memerlukan fakta atau maklumat tentang sesuatu kejadian seperti kemalangan, kebakaran dan sebagainya.
~ Maklumat dalam kandungan berita seharusnya menjawab persoalan
   Apa? Siapa? Bila? Di mana?, dan Mengapa?
~ Penulisan berita perlu mengikut suatu format khusus ;
    a) Dimulakan dengan menulis nama tempat di sebelah kiri dengan huruf besar, diletakkan tanda koma, diikuti dengan hari atau tarikh serta  tanda sempang sebelum perenggan yang pertama.
    Contoh : SIMPANG AMPAT , Sabtu -

~ Isi berita yang paling penting haruslah didahulukan, manakala isi berita yang kurang penting dikemudiankan . 

~Bahasa yang digunakan dalam penulisan berita haruslah mudah dan padat. Elakkan daripada menggunakan ayat yang panjang atau meleret-leret.
~ Maklumat-maklumat untuk penulisan sesebuah berita boleh dikumpul melalui pembacaan, pemerhatian dan wawancara 

~Semasa menulis karangan berita,anda harus mengingat enam persoalan, iaitu apa, siapa, bila, di mana, mengapa, dan bagaimana . 
* Apa ?  
~ Menerangkan peristiwa yang berlaku dan menjadi tema atau inti berita. Memberi maklumat utama kepada keseluruhan berita.
* Bila ? 
~ Menerangkan masa sesuatu peristiwa itu berlaku.Tarikh dan hari kejadian berlaku perlu ditulis dengan jelas.Dalam berita-berita jenayah dan kemalangan, waktu peristiwa berlaku perlu ditulis juga.
* Di mana ? 
~ Menerangkan nama tempat di mana berlakunya sesuatu peristiwa. Jika terdapat nama-nama tempat yang tidak diketahui umum, alamat tempat itu hendaklah ditulis dengan penuh.
* Siapa ? 
~ Nama-nama yang terlibat dalam peristiwa itu mestilah jelas. Nama perlu ditulis dengan lengkap dan penjelasan atau gelaran yang menerangkan siapa perlu ada. Nama penuh , gelaran juga perlu ditulis. Adakalanya umur juga perlu ditulis .
* Mengapa ? 
~ mengandungi sebab-sebab peristiwa itu berlaku. Sekiranya sebab-sebab yang tidak diketahui hendaklah ditulis sebagai ‘belum diketahui’ atau ‘belum ada bukti’.
* Bagaimana? 
~ menerangkan cara peristiwa itu berlaku dan urutan perkembangan sesuatu peristiwa.

Sunday, July 1, 2012

Saturday, June 30, 2012

Friday, June 29, 2012

Wednesday, June 27, 2012

KARANGAN UPSR (Surat Tak Rasmi) : Persediaan Hadapi UPSR


SOALAN : Anda menerima surat daripada rakan anda yang telah berpindah ke sekolah lain. Di dalam suratnya, dia bertanyakan persiapan anda bagi menghadapi UPSR. Balas surat rakan anda itu dan ceritakan usaha-usaha anda menjelang peperiksaan tersebut.                                                                                                                       
          





                                                                                                                        No 1, Lorong 2.
                                                                                                                        Taman Tambun, 
                                                                                                                        14000 Simpang Ampat, 
                                                                                                                         Pulau Pinang.

                 Menemui sahabatku yang diingati selalu, Zafran yang kini berada di Kota Bharu, Kelantan . Semoga sihat sejahtera.


Saudara,
                Apa khabar ? Semoga saudara dan keluarga dalam keadaan sihat sejahtera. Surat saudara telah selamat saya terima beberapa hari yang lalu. Terima kasih saya ucapkan kerana saudara masih mengingati saya. 

               Dalam surat saudara yang lepas, saudara bertanyakan persediaan saya untuk menghadapi UPSR. Sememangnya saya telah membuat persediaan lebih awal kerana tidak mahu menyesal kemudian hari. Hanya tinggal beberapa minggu lagi kita akan menghadapi UPSR.
               Kata orang tua-tua, sediakan payung sebelum hujan. Oleh itu, saya telah cuba bersedia dari awal lagi untuk menghadapi UPSR. Saya telah menyediakan jadual waktu belajar di rumah. Saya menetapkan masa untuk membuat kerja-kerja rumah dan masa untuk mengulang kaji setiap mata pelajaran. Dengan cara ini saya dapat belajar dengan lebih teratur dan sistematik.

              Selain itu, saya mengikuti kelas tambahan yang diadakan oleh guru-guru pada waktu petang dan setiap hujung minggu. Dalam kelas tambahan ini, saya dapat berkongsi idea dengan rakan-rakan dan bertanyakan soalan kepada guru sekiranya tidak faham.Saya juga bertukar-tukar nota dan soalan peperiksaan dengan rakan-rakan dari sekolah lain untuk mempelbagaikan soalan latih tubi saya.  
              Saya juga sering mengikuti seminar dan kem motivasi yang diadakan oleh pihak sekolah.Kami banyak mendapat pendedahan tentang cara-cara belajar yang betul. 
              Saya berharap agar kita akan mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti. Akhir kata, sambutlah salam daripada saya untuk saudara sekeluarga. Semoga kita akan berjumpa lagi di lembaran yang lain.

                                                                                                                        Sahabatmu,
                                                                                                                                &&
                                                                                                                        (Alif bin Arif))

Tuesday, June 26, 2012

Surat Tidak Rasmi : Musim buah-buahan

SOALAN : Tulis surat kepada kakak anda yang sedang belajar di luar negara untuk menceritakan musim buah-buahan di kampung anda.

                                                                                                                               No 1, Lorong 2,
                                                                                                                               Taman Tambun,
                                                                                                                               14000 Simpang Ampat,
                                                                                                                               Seberang Perai Selatan,
                                                                                                                               Pulau Pinang.
                                                                                                                               1 Januari 2012.

             Menemui kakandaku yang disayangi dan dirindui yang kini berada di Kota London dengan selamatnya.

Kakandaku,
            Apa khabar kakanda di sana ? Adinda dan keluarga di sini sihat walafiat. Diharap, keadaan kakanda juga begitu.
            Untuk pengetahuan kakanda, warkah yang kakanda kirimkan telah selamat adinda terima tempoh hari dan faham akan isi kandungannya. Tujuan adinda menulis warkah ini adalah untuk menceritakan mengenai musim buah-buahan seperti yang kakanda tanyakan dalam warkah tersebut.
            Syukurlah, musim buah-buahan pada kali ini sungguh menjadi. Pokok buah-buahan di dusun datuk berbuah lebat. Buahnya juga elok dan bermutu tinggi. Durian, manggis, mangga, rambutan dan langsat sudah mulai masak.
             Datuk mengambil kesempatan menjual sebahagian daripada buah-buahan tersebut di pasar malam. Datuk mendapat hasil yang lumayan. Ada juga kenalan-kenalan datuk dari pelbagai tempat memesan pelbagai jenis buah untuk dibeli daripada datuk.
             Adinda juga berpeluang membantu datuk mengutip buah-buahan di dusunnya selepas pulang dari sekolah. kadang-kadang geli hati juga adinda mendengar omelan datuk yang terlalu bimbang apabila adinda memanjat pokok rambutannya yang rendang untuk memetik buah rambutan. Tentu suasana di sini menjadi lebih meriah jika kakanda ada bersama.
            Sampai di sini sahaja warkah adinda untuk kali ini. Waktu pun sudah hampir menjelang tengah malam. Adinda mendoakan agar kakanda berjaya dengan cemerlangnya dalam pelajaran kakanda. Semoga kita berjumpa lagi dalam lembaran yang lain pula.
             Sekian, terima kasih. Adinda sudah mengantuk. Adinda berharap kakanda pulang segera. Sekian, terima kasih.
                                                                                                                                Yang benar,
                                                                                                                                 &&&&&&

Monday, June 25, 2012

Anda Ingin Menulis Karangan Syarahan ?

~ Syarahan merupakan karangan yang memerlukan kemahiran berhujah, daya dan kematangan berfikir.
~ Bahasa yang digunakan mestilah tepat
~ Hujah-hujah mestilah bernas dan mudah difahami.
~ Syarahan disampaikan dalam majlis pertandingan.
~ Mempunyai format tertentu, iaitu pembukaan dengan kata-kata aluan mengikut tahap hadirin.
~ Penutup mesti menarik dan meyakinkan pendengar atau pembaca.
~ Gunakan kata-kata yang bertatasusila dan kata-kata perangsang kepada hadirin.

APA YANG PERLU IALAH.....
1. Mesti memahami keadaan majlis seperti yang dikehendaki soalan.
2. Cari isi-isi penting berkaitan dengan tajuk.
3. Gunakan kata alu-aluan yang betul.
4. Dalam perenggan pertama, huraikan maksud tajuk.
5. Kemudian, perenggan seterusnya kemukakan hujah-hujah yang bernas.
6. Gunakan bahasa kiasan atau peribahasa supaya hujah lebih menarik.
7. Diakhiri dengan penutup penghargaan, penegasan, ucapan salam dan terima kasih.
8. Panjang karangan (UPSR) hendaklah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Friday, June 22, 2012

KARANGAN UPSR (Berita) : Perkhemahan Pengakap

 SOALAN : Baru-baru ini pasukan pengakap sekolah kamu telah mengadakan aktiviti perkhemahan. Sebagai pemberita majalah sekolah, kamu dikehendaki menyediakan berita tentang perkhemahan itu.

SIMPANG AMPAT. 1 Jun - Pasukan pengakap Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun telah mengadakan aktiviti perkhemahan di Hutan Lipur Bukit Mertajam selama dua hari satu malam.

              Cikgu Adli Zakaria selaku ketua komandan perkhemahan ini berkata, seramai 40 orang peserta daripada murid-murid Tahap 2 terlibat dengan perkhemahan ini. Manakala 10 orang guru pengiring bersama-sama membantu menjayakan aktiviti yang diadakan kali ini.


         Tujuan perkhemahan ini adalah untuk melengkapkan kursus Keris Perak di peringkat sekolah. Sebanyak 10 buah khemah telah didirikan di tapak perkhemahan. Para peserta diberi taklimat tentang langkah-langkah keselamatan sepanjang mereka berada di sini.

         Pelbagai aktiviti telah disusun agar program perkhemahan ini berjalan lancar. Antara aktiviti yang dijalankan ialah kawad, 'junggle tracking', persembahan kebudayaan, masakan rimba dan sebagainya.Para peserta kelihatan begitu teruja melakukan setiap aktiviti yang dijalankan.


         Semangat tolong-menolong dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti yang dilaksanakan. Setiap peserta begitu bersungguh-sungguh melakukan aktiviti walaupun ada antara mereka yang nampak keletihan. Berdasarkan laporan kem komandan, selain berjaya melengkapkan kursus Keris Perak, setiap peserta mendapat pengalaman berguna. Sikap berdikari, bekerjasama dan kepimpinan peserta telah berjaya dipupuk.

        Oleh kerana perkhemahan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta, pihak sekolah telah bercadang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti tahunan. Hal ini dicadangkan sendiri oleh guru besar sekolah ketika berucap pada majlis penutup kursus tersebut.

Thursday, June 21, 2012

Syarahan : Pentingnya Anak-anak Menghormati Ibu Bapa

SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberikan ialah "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".
Tulis syarahan itu selengkapnya.

         Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasih sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".

          Hadirin sekalian,

          Ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Merekalah orang yang banyak berjasa kepada kita. Mereka mencurahkan kasih sayang sejak kita di dalam kandungan lagi. Oleh itu, menghormati mereka dengan sepenuh hati merupakan salah satu cara kita membalas jasa-jasa mereka.

         Anak-anak perlu sedar bahawa ibu bapa banyak berkorban wang ringgit untuk menyara dan memenuhi keperluan kita. Namun, mereka sekali-kali tidak pernah merungut tentang kos untuk membesarkan kita selama ini. Betapa zalimnya jika kita tidak menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka kepada kita.

         Hadirin sekalian,

         Ibu bapa telah memberikan pendidikan agama, akhlak dan sahsiah kepada kita. Mereka juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberikan kita pendidikan yang sempurna.Balaslah jasa mereka, apatah lagi apabila kita sudah berjaya menggapai cita-cita.

         Selain itu, ibu bapa juga merupakan insan yang paling rapat dengan kita. Sekiranya kita mempunyai masalah, mereka akan berusaha mencari jalan penyelesaiannya.Oleh itu, sayangilah mereka kerana ibu bapa tiada galang gantinya di dunia ini.

        Oleh yang demikian, kita perlulah sentiasa menghormati ibu bapa. Sebagai anak, kita perlu mencari keberkatan di dunia dan akhirat. Semuanya dapat diperoleh apabila kita mendapat restu daripada ibu bapa kita. Marilah kita bersama-sama menghormati ibu bapa kita.

       Sekian, terima kasih.

Wednesday, June 20, 2012

KARANGAN UPSR ( Dialog )

SOALAN : Kamu mendapat tahu bahawa kawan kamu mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Kamu menghubunginya melalui telefon untuk mengucapkan tahniah. Tulis perbualan kamu selengkapnya.

Dini : Helo, boleh saya bercakap dengan Abu ?
Abu : Helo, Abu di sini. Boleh saya tahu siapa yang bercakap di sana ?
Dini : Saya Dini. Apa khabar ?
Abu : Dini rupanya. Saya sihat. Sudah lama kita tidak berjumpa.
Dini : Ya. Saya ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan kamu memperoleh keputusan 5A dalam
          peperiksaan UPSR yang lalu.
Abu : Terima kasih. Saya bersyukur kerana dapat merealisasikan impian saya dan keluarga. Saya
          berpendapat kejayaan ini wajar dikongsi bersama-sama dengan ibu bapa, guru-guru dan rakan-
          rakan. Bagaimanakah kamu tahu saya mendapat 5A ?
Dini : Petang tadi kawan baik kita Amirul telah memaklumkan kejayaan kamu kepada saya. Saya berasa
         bangga dengan kejayaan kamu. Walaupun kamu seorang murid yang aktif dalam bidang kokurikulum
         dan menyandang banyak jawatan, kamu tetap cemerlang dalam pelajaran.
Abu : Dini juga boleh berjaya jika ada kemahuan. Walaupun kita aktif dalam bidang kokurikulum, kita perlu
          bijak membahagikan masa. Kita perlu mempunyai jadual belajar sendiri dan memberikan fokus ketika
          guru yang sedang mengajar di dalam kelas.
Dini : Terima kasih, Abu kerana sudi memberikan nasihat dan panduan berguna kepada saya.Adakah kamu
          telah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh ?
Abu : Belum lagi. Saya berhasrat untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara. Sekolah ini menjadi pilihan
         saya kerana sekolah ini telah melahirkan banyak pemimpin negara.Saya sendiri bercita-cita menjadi
         salah seorang pemimpin negara.
Dini : Syabas, Abu kerana mempunyai cita-cita tinggi.  Saya berharap kamu akan berjaya merealisasikan
         impian kamu itu.
Abu : Saya juga mendoakan agar Dini mencapai keputusan yang cemerlang dalam UPSR pada tahun
         hadapan.
Dini : Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk berbual dan memberi kata-kata semangat kepada
         saya.
Dini : Sama-sama.

Tuesday, June 19, 2012

IMBUHAN PINJAMAN : Awalan tri-

~ Awalan tri- membawa maksud tiga.
~ Contoh
1. triatom ~ molekul yang terdiri daripada tiga atom
2. tribahasa ~ mempunyai tiga bahasa
3. tribrata ~ mempunyai tiga kewajipan
4. tribulan ~ tiga bulan
5. trigonometri ~ ilmu tentang sudut dan sempadan segi tiga
6. trikaki ~ penopang kamera yang berkaki tiga
7. trilogi ~ muzik atau novel yang terdiri daripada tiga bahagian
8. trimatra ~ tiga demensi
9. trio ~ kumpulan yang terdiri daripada tiga orang
10.triwangsa ~ tiga kasta
11.triwarsa ~ tiga tahun
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...