BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Wednesday, March 7, 2012

Karangan Fakta: Faedah Membaca

Membaca jambatan ilmu. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Terdapat pelbagai bahan bacaan yang sesuai dibaca seperti surat khabar, majalah, buku cerita, komik dan lain-lain lagi. Bahan-bahan ini boleh didapati di perpustakaan ataupun membelinya di kedai buku.

Membaca dapat memberikan pelbagai faedah kepada kita. Antaranya membaca dapat menambah ilmu pengetahuan. Dengan membaca buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang seperti bidang sejarah, ekonomi, perubatan dan sebagainya, menjadikan kita pelajar yang berpengetahuan luas dan otak cair. Secara tidak langsung akan membantu kita menjadi pelajar yang cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa serta guru-guru.

Dengan membaca juga kita akan dapat mengetahui isu-isu semasa. Apabila kita membaca surat khabar, kita akan tahu berita semasa di dalam dan di luar negara. Contohnya berita tentang gempa bumi di Jepun, peperangan di Palestin, Banjir di Johor dan sebagainya.

Di samping itu, membaca juga dapat menghiburkan kita. Apabila kita berasa penat setelah menelaah pelajaran, kita boleh membaca buku-buku yang boleh menghiburkan kita seperti komik, majalah dan lain-lain lagi. Dengan itu, kita dapat menghilangkan rasa penat.

Seterusnya, membaca dapat mengisi masa lapang kita. Kita dapat mengelakkan diri kita daripada bergaul dengan kacang hantu atau kutu embun. Secara tidak langsung, kita tidak akan terjebak dengan gejala sosial seperti melepak, bergaduh, vandalisme dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, membaca amat penting kepada para pelajar. Oleh itu, kita haruslah tanamkan sikap suka membaca pada setiap masa. Rakyat yang suka membaca adalah rakyat yang berilmu.

9 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...