BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Saturday, August 22, 2009

MAJLIS PERPISAHAN GURU PRAKTIKUM





Adanya pertemuan, pastinya ada perpisahan. Latihan Praktikum beberapa orang guru pelatih telah berakhir pada 21 Ogos 2009. Walaupun hanya sekejap iaitu lebih kurang dua bulan berada di sekolah ini, namun sudah pastinya pengalaman ini tidak akan dapat dilupakan. Sekitar majlis perpisahan, kelihatan murid-murid mengambil kesempatan bersalaman dengan guru pelatih kesayangan mereka untuk memohon maaf dan mengucapkan selamat jalan. Suasana sedih menyelubungi majlis, bukan sahaja murid malah guru pelatih sendiri menitiskan air mata kerana sedih untuk meninggalkan SKBT. Antara pesan terakhir guru pelatih ini kepada semua murid SKBT, belajarlah bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita. Kami warga SKBT mengucapkan terima kasih atas jasa dan keringat yang dicurahkan di sekolah ini sepanjang Latihan Praktikum dijalankan.

LATIHAN KESELAMATAN KEBAKARAN




Unit Keselamatan SKBT yang diketuai oleh Encik Fazli telah mengadakan Latihan Kecemasan Kebakaran. Antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid tantang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil jika berlakunya kebakaran di sekolah. Sebaik sahaja loceng dibunyikan berulang kali menandakan berlakunya kebakaran, semua murid dan guru bergegas ke padang sekolah mengikut laluan yang ditetapkan. Latihan ini berjalan dengan lancar dan telah mencapai objektifnya. Tahniah kepada Unit Keselamatan.

Thursday, August 20, 2009

IMBUHAN PINJAMAN : Pra-

Imbuhan pinjaman ialah imbuhan yang dipinjamkan daripada bahasa lain.
Contoh imbuhan pinjaman awalan adalah maha-, pra-, tata-, panca, swa-, tuna, eka-, dwi-, tri, bi-, anti-, dan pro-.

Awalan pra- membawa maksud sebelum atau syarat kepada sesuatu.
Contoh ; perkataan berimbuhan awalan pra- dan maksunya ;

praakhir ~ sebelum akhir
prakata ~ kata pendahuluan
pramatang ~ belum cukup masak atau belum cukup tempoh
pramoden ~ sebelum mencapai zaman moden
prasangka ~ sangkaan buruk terhadap sesuatu sebelum mengetahui hal yang sebenar
prasarana ~ suruktur asas sesuatu sistem, infrastruktur
prasejarah ~ sebelum sejarah
prasekolah ~ tadika
prasiswazah ~ orang yang belum lulus sebagai siswazah
prasyarat ~ syarat awal
pratonton ~ tayangan sebelum tayangan rasmi
prauniversiti ~ sebelum masuk universiti, pengajian sebelum memasuki universiti
prawacana ~ mukadimah, kata pendahuluan

Monday, August 17, 2009

PERUMPAMAAN (001)

1. Bagai dakwat dengan kertas = sangat akrab
2. Bagai diiris dengan sembilu = pedih sekali
3. Bagai mencencang air = melakukan kerja yang tidak berfaedah
4. Bagai pelita kehabisan minyak = berwajah muram kerana kedukacitaan

5. Seperti air di dalam kolam = orang yang tenang sikap dan tingkah lakunya.
6. Seperti cacing kepanasan = Selalu gelisah
7. Seperti mentimun dengan durian = orang yang lemah melawan orang yang kuat
8. Seperti rumput di tepi jalan = hidup dalam kemiskinan
9. Seperti rusa masuk kampung = tercengang-cengang kehairanan.
10.Seperti telingan lintah = tajam pendengaran

Thursday, August 13, 2009

LAWAK : Masalah Pendengaran..Suami atau Isteri??

Udin pergi berjumpa doktor mengeluh tentang isterinya yang sudah hilang
pendengaran.

"Seberapa burukkah pendengarannya? " tanya doktor.

"Entahlah, Doktor. Yang jelas saya mesti menjerit kalau nak berbual
dengannya."

"Okey, cuba buat macam nie. Berdiri sejauh 6 meter darinya, lalu katakan
sesuatu. Kalau dia tak boleh dengar kamu, berdirilah lebih dekat sedikit
darinya, lalu katakan yang kamu katakan tadi. Kalau dia tidak juga dengar,
dekatkan jarak sedikit demi sedikit. Dengan begitu saya akan tahu berapa
jarak
maksima pendengarannya. "

Maka, Udin pulang ke rumah dan mendapati isterinya sedang memasak di dapur.
Dari jarak 6 meter ia berteriak, "Makan apa kita malam ini?" Tak ada jawapan.
Lalu dia jalan depan sedikit lagi, berhenti di jarak 5 meter dan menanyakan
hal yang sama. Juga tak terdengar jawapan. Begitu juga pada jarak 3 meter.

Akhirnya, ia berdiri di samping isterinya.

"Makan apa kita malam ini?" katanya separuh menjerit.

Si isteri dengan mata yang berlinangan dengan air mata, lalu menjerit:

"Untuk keempat kalinya aku beritahu, KARI KAMBING!!!!"

Rupa2nya si Udin yg pekak!!!!

Lawak : Kencing atau Bisik ???

Suatu hari Mak Andeh membawa anaknya, Ondeh makan di warung. Ketika itu Ondeh masih kecil lagi, baru tiga tahun. Sewaktu sedang makan, tiba-tiba ondeh bercakap dengan kuat, "Mak, Ondeh nak kencing!" Malu betul Mak Andeh, satu warung dengar suara Ondeh itu.
Mak Andeh terus menutup mulut Ondeh. Dia berbisik, "Syyy...jangan cakap macam tu di tempat orang tengah makan, tak elok. Lagi satu, kalau nak kencing, jangan sebut kencing. Cakap, mak, Ondeh nak 'bisik'. Ingat tu, kalau nak kencing, cakap nak bisik."
Ondeh mengangguk kepala tanda faham. Balik dari warung, baru Ondeh dapat pergi kencing.
Esoknya Pak Pandir pula bawa Ondeh pergi warung. Sedang mereka makan, tiba-tiba Ondeh menjerit, "Pak...Ondeh nak 'bisik' !" Satu warung terkejut.
Pak Pandir senyum. Pak Pandir berkata kepada anaknya itu, "Boleh...Haa, Ondeh 'bisiklah' kat telinga bapak ni..." (apa jadi lepas tu, bayang le sendiri.....)

Sumber : Mastika

Lawak : Lelaki @ Perempuan???

Seorang bapa duduk di kerusi taman memerhatikan kanak-kanak rancak bermain di padang. Dia mengeluh....
"Zaman sekarang ni susah kita nak bezakan mana budak lelaki, mana budak perempuan. Sama saja. Tengoklah budak lelaki tu..." kata si bapa tadi sambil menunjuk ke arah seorang budak berbaju hijau yang sedang berlari-lari dengan kawannya.
Orang yang duduk di kerusi sebelahnya tercengang, "Itu anak saya. Dia bukannya lelaki, dia perempuan."
Si bapa tadi tersipu-sipu malu. Dia cepat-cepat meminta maaf. "Saya tak bermaksud nak malukan encik. Maaflah, saya tak tahu encik ni bapanya...."
Orang yang di sebelahnya tadi sekali lagi menggaru kepala. "Tidak..saya bukan bapanya, saya emaknya."

(Sumber : Mastika)

Saturday, August 8, 2009

Tahniah..Pelajar Cemerlang Percubaan UPSR


Tahniah kepada 3 orang murid 6 Cemerlang yang telah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan percubaan UPSR yang lepas. Teruskan berusaha semoga keputusan ini akan berulang untuk UPSR sebenar nanti. Kepada murid lain, tingkatkan usaha kerana anda juga mampu memperoleh kecemerlangan ini.

Ikrarku...Negaraku Tercinta

Detik ini....
Tanggal 2009, genap usia 52 tahun merdeka
Pada tanggal 31 Ogos
Berulang lagi, menjelma lagi
suara keramat laungan merdeka..

Dalam keriangan mengecapi nikmat
usah lupa, usah alpa
jasa akan perajurit negara
tidak mengenal erti kecewa
berkorban jiwa dan keluarga
demi...sebuah negara merdeka

Aku bangga menjadi anak Malaysia
Aku bangga mengibarkan Jalur Gemilang
Akulah pengisi kemerdekaan hari ini
demi generasi masa depan

Negaraku tercinta...
ikrarku padamu
akanku pertahankan kesucian tanah ini
daripada diceroboh lagi
oleh mata asing yang memerhati cemburu
Janjiku padamu
walau berdepan jutaan halangan
melangkah tetapku melangkah
meredah tetapku meredah
demi mencapai wawasan
demi sebuah negara terbilang.
(Nukilan : Nik Faizul )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...