BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN
Showing posts with label KARANGAN CERITA. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN CERITA. Show all posts

Friday, September 6, 2013

Karangan UPSR : Cerita Lemas Di Sungai

SOALAN : Kamu dan rakan kamu telah memancing di sungai. Tanpa diduga, rakan kamu telah tergelincir lalu lemas. Tulis cerita kamu selengkapnya.

           Aku dan Hasan tinggal berjiran. Kami berkawan sejak kecil lagi. Hubungan kami sangat akrab. Kami mempunyai hobi yang sama iaitu memancing ikan.
           Pada suatu hari, aku dan Hasan merancang untuk memancing ikan di sungai berdekatan. Setelah menyiapkan semua peralatan seperti joran dan umpan, kami pun bertolak ke lokasi yang ditetapkan. Aku dan Hasan menunggang basikal untuk ke sungai yang terletak di hujung kampung kami.
           Setibanya kami di lokasi, aku dapati banyak kanak-kanak sedang mandi-manda di sungai itu. Aku mencadangakan kepada Hasan supaya mencari lokasi yang lebih sesuai dan jauh daripada riuh-rendah kanak-kanak. Kami meletakkan peralatan di bawah pokok, kemudian terus melabuhkan punggung untuk memancing.
            Lokasi yang kami pilih memang sesuai. Dalam beberapa minit sahaja, kami sudah berjaya memancing pelbagai jenis ikan seperti ikan talapia, ikan lampam dan ikan puyu.Oleh sebab terlalu asyik memancing, kami tidak sedari hari sudah semakin senja. Ketika bersiap-siap untuk pulang, tiba-tiba pancing Hasan ditarik sesuatu. Hasan cuba menarik pancingnya tetapi tidak berjaya.
             Hasan masih terkial-kial menarik pancingnya. Tiba-tiba, Hasan tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai. Dia cuba berenang ke tepi tebing tetapi tidak berjaya kerana arus deras. Aku cuba menghulurkan joranku untuk dicapai olehnya tetapi gagal. Aku segera menjerit meminta tolong apabila melihat Hasan semakin lemah.
             Jeritanku didengari oleh seorang pemuda yang kebetulan memancing di lokasi berhampiran. Dia bergegas terjun ke dalam sungai dan menarik Hasan ke tepi tebing. Hasan berjaya diselamatkan. Kami berdua mengucapkan terima kasih kepada pemuda berkenaan. Sejak hari itu, kami berdua lebih berhati-hati apabila memancing di sungai .

Sunday, January 6, 2013

KARANGAN UPSR (cerita) : Rumah Jiranku Terbakar

 

Pada suatu petang, ketika pulang dari sekolah, aku ternampak asap tebal berkepul-kepul di udara. Aku segera berlari untuk melihat apa yang berlaku. Ketika itu aku berasa bimbang kerana lokasi asap tebal itu berdekatan dengan rumahku. Rupa-rupanya rumah Tok Lebai yang terbakar.

Aku segera pergi memberitahu ibu bapa. Kemudian bapaku terus keluar rumah untuk meminta pertolongan daripada penduduk kampung. Ramai penduduk kampung yang datang dan mereka bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Namun begitu, api itu semakin marak. Sementara itu, aku segera menelefon pihak bomba. Kira-kira 20 minit kemudian, bomba pun sampai ke tempat kejadian. Setengah jam berikutnya, api yang marak itu berjaya dipadamkan tetapi malangnya rumah Tok Lebai telah pun musnah sama sekali dijilat api.

Pihak bomba menyatakan bahawa punca kejadian itu mungkin akibat daripada litar pintas.Syukurlah kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Tok Lebai dan keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang menolong memadamkan kebakaran rumah mereka.

Memandangkan Tok Lebai jiran terdekat kami, ibu bapaku mengajak Tok Lebai sekeluarga menumpang di rumah kami untuk sementara waktu. Semasa di rumah kami, Tok Lebai selalu kelihatan muram kerana mungkin mengenangkan peristiwa pahit yang melanda keluarganya.

Selang tiga bulan kemudian, rumah Tok Lebai telah siap dibina semula hasil daripada sumbangan dan gotong-royong penduduk kampung. Tok Lebai berasa amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga kami dan juga penduduk kampung yang banyak membantu mereka. 

Thursday, July 19, 2012

KARANGAN UPSR (CERITA) Tindakan Apabila Rakan Tercedera

SOALAN :: Kamu dan rakan-rakan kamu sedang menyiapkan tugasan di Bilik Kemahiran Hidup. Tiba-tiba salah seorang daripada rakan kamu tercedera kerana terkena benda tajam. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan.
  






  Pada suatu hari, aku dan rakan-rakan sedang mengikuti kelas Kemahiran Hidup. Tiba-tiba seorang rakanku tercedera akibat terkena pahat. Pada waktu itu, Cikgu Ali iaitu guru Kemahiran Hidup kami pergi ke tandas.
     Justeru, aku terus ke bilik guru untuk memberitahu guru tentang kejadian itu. Aku turut mendapatkan peti pertolongan cemas yang terletak di situ. Kami bergegas ke bilik Kemahiran Hidup.
     Pada mulanya aku menyapu ubat antiseptik untuk membunuh kuman yang terdapat pada luka tersebut. Kemudian, aku membalut luka tersebut mengikut cara yang aku pelajari semasa aku menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah pada tahun lalu.
     Selepas itu, aku dan guruku memapah rakanku ke bilik rehat dan menelefon kedua-dua ibu bapa rakanku untuk memaklumkan mereka tentang peristiwa tersebut. Kemudian, kami membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
     Beberapa minggu kemudian, luka rakanku semakin pulih. Dia berterima kasih atas pertolongan yang aku berikan semasa dia tercedera di Bilik Kemahiran Hidup tempoh hari. Aku bersyukur kerana luka kawanku tidak serius dan sudah semakin pulih.
     Dia berjanji akan mematuhi segala peraturan semasa berada di Bilik kemahiran Hidup dan berhati-hati ketika menggunakan benda-benda yang tajam semasa pengajaran dan pembelajaran.

Friday, July 6, 2012

KARANGAN UPSR (Cerita) : Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan

SOALAN : Setiap orang pastinya ada sesuatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tulis sebuah karangan tentang pengalaman yang tidak dapat kamu lupakan.

Contoh Jawapan


            Apabila disebut nama Aiman, semua kawan kenal akan nama itu. Aku dikatakan sebagai seorang yang keras kepala. Memang benar gelaran tersebut diberikan kepadaku kerana aku jarang-jarang mendengar nasihat, meskipun nasihat ibuku sendiri.
           Pada suatu hari, aku merayau-rayau di sekitar kampung. Aku terpandang akan beberapa biji mangga yang telah masak di kebun jiranku. Tanpa membuang masa, aku pun segera memanjat pohon mangga itu. Aku tidak meminta kebenaran daripada empunya kebun itu.
          Tanpa aku duga, rupa-rupanya terdapat sarang tebuan pada pohon mangga itu. Dengan tidak sengaja aku merosakkan sarang itu. Sebagai akibatnya, beberapa ekor tebuan menyengat badanku. Terpaksalah aku terjun dari atas pohon mangga ilu untuk menyelamatkan diri.
          Aku menjerit meminta pertolongan. Mujurlah, orang-orang kampung terdengar akan jeritanku. Mereka segera memberikan bantuan.
          Aku dihantar ke hospital. Aku terpaksa tinggal di wad selama lima hari. Aku berasa terseksa kerana terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat.
          Aku kesal atas peristiwa yang terjadi pada diriku. Aku menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibuku. Semenjak hari itu, aku berjanji tidak mahu mencuri lagi. Peristiwa tersebut akan aku kenang selagi hayat dikandung badan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...