BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Sunday, November 10, 2013

Lawak Ferrari vs Rokok ???

sepasang kekasih sedang berbual....tiba-tiba sang kekasih mengemukakan soalan cepu emas...



Girl: Awak merokok..??
Boy: Merokok.. Knape..??
Girl: Sehari brape kotak awak hisap..??
Boy: 3 kotak..
Girl: Harga sekotak brape..??
Boy: RM12...
Girl: Brape tahun da awak hisap rokok..??
Boy: 15
Girl: Cube awak kira.. Sehari 3 kotak da RM36.. sebulan jadi RM1080... setahun da RM12,960.. kena 15 tahun da boleh kua Ferrari sebijik....!!
Boy: Hmm.. Awak hisap rokok..??
Girl: Tak..
Boy: Tunjukkan kat saye.. Mane Ferrari awak..!!?

Thursday, November 7, 2013

Lawak di kedai runcit..

Situasi: kedai runcit kampung.Ada seorang budak mahu beli
gula..



Budak : Auntie!! ada gula kah?
Auntie : Ada.. sana tu (sambil menunjuk tempat)..
Budak : Tiada pun.. garam sama belacan saja ni...
Auntie : Ada pun.. (sambil mengambil bungkusan dari rak yang bertulis Garam..) ..
Budak : Auntie!! saya mahu gula bukan garam...
Auntie : Gula la ni.. tapi saya sengaja tulis garam supaya itu
semut tidak nampak..!
budak : *hantuk kepala dia dengan auntie tuu dekat casher..

Friday, September 6, 2013

Karangan UPSR : Cerita Lemas Di Sungai

SOALAN : Kamu dan rakan kamu telah memancing di sungai. Tanpa diduga, rakan kamu telah tergelincir lalu lemas. Tulis cerita kamu selengkapnya.

           Aku dan Hasan tinggal berjiran. Kami berkawan sejak kecil lagi. Hubungan kami sangat akrab. Kami mempunyai hobi yang sama iaitu memancing ikan.
           Pada suatu hari, aku dan Hasan merancang untuk memancing ikan di sungai berdekatan. Setelah menyiapkan semua peralatan seperti joran dan umpan, kami pun bertolak ke lokasi yang ditetapkan. Aku dan Hasan menunggang basikal untuk ke sungai yang terletak di hujung kampung kami.
           Setibanya kami di lokasi, aku dapati banyak kanak-kanak sedang mandi-manda di sungai itu. Aku mencadangakan kepada Hasan supaya mencari lokasi yang lebih sesuai dan jauh daripada riuh-rendah kanak-kanak. Kami meletakkan peralatan di bawah pokok, kemudian terus melabuhkan punggung untuk memancing.
            Lokasi yang kami pilih memang sesuai. Dalam beberapa minit sahaja, kami sudah berjaya memancing pelbagai jenis ikan seperti ikan talapia, ikan lampam dan ikan puyu.Oleh sebab terlalu asyik memancing, kami tidak sedari hari sudah semakin senja. Ketika bersiap-siap untuk pulang, tiba-tiba pancing Hasan ditarik sesuatu. Hasan cuba menarik pancingnya tetapi tidak berjaya.
             Hasan masih terkial-kial menarik pancingnya. Tiba-tiba, Hasan tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai. Dia cuba berenang ke tepi tebing tetapi tidak berjaya kerana arus deras. Aku cuba menghulurkan joranku untuk dicapai olehnya tetapi gagal. Aku segera menjerit meminta tolong apabila melihat Hasan semakin lemah.
             Jeritanku didengari oleh seorang pemuda yang kebetulan memancing di lokasi berhampiran. Dia bergegas terjun ke dalam sungai dan menarik Hasan ke tepi tebing. Hasan berjaya diselamatkan. Kami berdua mengucapkan terima kasih kepada pemuda berkenaan. Sejak hari itu, kami berdua lebih berhati-hati apabila memancing di sungai .

Tuesday, July 30, 2013

KARANGAN UPSR : Ucapan Majlis Perpisahan Tahun Enam.


SOALAN ; Majlis Perpisahan Tahun Enam akan diadakan di dewan sekolah anda. Selaku ketua darjah, anda diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan tersebut.Sediakan teks ucapan selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Encik Zafran bin Faizal Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Tambun, guru-guru penolong kanan, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir enam tahun kami berada di Sekolah Kebangsaan Serti Tambun ini. Kini, hanya tinggal tiga hari sahaja lagi sebelum kami meninggalkan sekolah ini untuk meneruskan persekolahan di sekolah menengah. Oleh sebab itu, dengan berat hatinya kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Saya mewakili semua murid Tahun 6 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di sekolah ini. Kami amat menghargai akan jasa kalian yang telah mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan mengira. Pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara akan sentiasa kami ingati.

Hadirin sekalian .

Kami murid-murid Tahun 6 berasa amat bertuah kerana mendapat guru-guru yang begitu berdedikasi di sekolah ini. Hasilnya, pada tahun ini kami mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Seramai 20 orang murid telah mendapat keputusan 5A dan tidak ada seorangpun yang gagal walaupun dalam satu mata pelajaran. Ini pencapaian yang amat membanggakan. Kejayaan yang cemerlang ini sudah pastinya hasil titik peluh dan rasa tidak jemu guru-guru mendidik kami.

Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti. Jasa dan pengorbanan guru-guru tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berharap agar guru-guru doakan kami supaya terus memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meninggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.
Sekian, terima kasih.

Monday, July 22, 2013

KARANGAN UPSR : Surat Kiriman Tidak Rasmi: Persediaan menghadapi UPSR


SOALAN : Anda akan menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi. Tulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR tersebut.

      
                                                                                                                                                                                                                                                                   No 1, Lorong 12,
                                                                                                         Taman Tambun Jaya,
                                                                                                         14120 Simpang Empat,
                                                                                                         Seberang Perai Selatan,
                                                                                                         Pulau Pinang.

                                                                                                         21 Julai  2013

              Menemui sahabatku Syamimi yang kini berada di Alor Setar, Kedah. Semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

               Apa khabar saudari sekarang? Saya harap saudari dan keluarga dalam keadaan sihat. Sudah agak lama kita tidak berjumpa. Surat saudari telah saya terima seminggu yang lau. Terima kasih kerana saudari masih mengingati saya di sini. 

               Dalam surat saudari yang lalu, saudari ada bertanyakan tentang persediaan saya menghadapi peperiksaan UPSR. Untuk pengetahuan saudari, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Langkah pertama saya saya ialah dengan mengubahsuai jadual waktu belajar. Saya akan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran dari pukul 9.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

                 Selain mengikuti kelas tambahan di sekolah, saya juga ada mengikuti kelas tambahan Pusat Tuisyen. Ibu bapa saya telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak tiga kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.


              Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Saya akan segera bertanya guru sekiranya saya tidak faham supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya dengan berkesan. Program gerak gempur yang diadakan di sekolah amat membantu saya. Hampir setiap hari, saya dan rakan-rakan di kelas akan menjawab soalan latih tubi yang disediakan oleh guru-guru.


               Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Simpang Empat untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Simpang Empat pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

              Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudari kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudari serta keluarga.

                                                                                                             Sahabatmu,


                                                                                                             .............................
                                                                                                             (Afiqah binti Aiman )

Tuesday, June 18, 2013

KARANGAN UPSR ; KEPERIHALAN / GAMBARAN : Berkunjung ke Pameran Buku

SOALAN : Baru-baru ini kamu telah berpeluang pergi ke pameran buku. Gambarkan suasana di tempat pameran buku itu diadakan.

       Pada minggu yang lalu, bertempat di Dewan Besar Simpang Ampat Pulau Pinang telah diadakan suatu pameran buku secara besar-besaran. Pameran buku ini berlangsung selama seminggu. Zafran rakan sekelas saya telah mengajak saya berkunjung ke pameran buku tersebut. Kami pergi ke sana dengan menaiki bas.

       Menjelang tengah hari, kami pun tiba di ruang pameran. Saya dapati banyak penerbit buku membuka gerai masing-masing. Ruang pameran penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing sibuk membelek-belek dan memilih buku yang dipamerkan. Banyak ibu bapa membawa anak-anak mereka datang ke pameran tersebut.

       Pameran buku ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran. Pameran buku ini telah disertai oleh 50 buah syarikat penerbit buku dari seluruh negara. Tujuan pameran buku ini diadakan adalah untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Di samping itu, pameran ini juga memudahkan orang ramai memilih bahan bacaan yang sesuai dan digemari oleh mereka.

      Buku-buku yang dijual di pameran ini murah-murah belaka. Pihak penerbit yang mengambil bahagian dalam pameran ini memberi diskaun antara 10% hingga 70% bergantung kepada jenis, kualiti dan tahun buku itu diterbitkan. Antara buku yang dijual ialah buku rujukan, buku cerita, majalah dan buku-buku ilmiah.

       Selain pameran buku, pelbagai aktiviti turut diadakan untuk pengunjung yang hadir. Antaranya ialah kuiz, pertandingan melukis, pertandingan mendeklamasikan sajak dan macam-macam lagi. Pelbagai hadiah disediakan seperti buku, sijil dan wang tunai. Banyak kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam pertandingan melukis. Ibu bapa yang hadir juga terhibur dengan persembahan kebudayaan yang diadakan.

       Saya dan Zafran turut membeli beberapa buah buku cerita dan buku rujukan UPSR. Saya dan Zafran menghabiskan masa hampir tiga jam di pameran itu, Ketika kami ingin meninggalkan tempat itu, orang ramai masih berpusu-pusu mengunjungi pameran tersebut.

Saturday, June 15, 2013

KARANGAN UPSR : FAKTA : Disiplin Penentu Kejayaan

SOALAN : Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk 'Disiplin Penentu Kejayaan'.

          Anggapan bahawa orang yang berjaya adalah kerana mereka mempunyai pemikiran yang pandai sejak dilahirkan merupakan tanggapan yang silap. Orang yang berjaya sebenarnya mempunyai disiplin mengurus diri yang baik. Apabila pandai mengurus diri, pandailah pula mengurus orang.
          
          Mengapakah disiplin itu dikatakan penentu kejayaan ? Sebenarnya apabila seseorang itu berdisiplin, segala tugasan yang diamanahkan kepadanya, sama ada daripada guru, ibu bapa, dan juga majikan dapat dilakukan dengan sempurna. Jika tidak berdisiplin, biasanya sesuatu kerja atau tugasan akan bertangguh. Kemudian, kerja tersebut akan dilakukan dengan tergesa-gesa. Akhirnya kerja siap tetapi tidak seperti yang diharapkan.

          Setiap sekolah pastinya mempunyai murid yang tidak berdisiplin, seperti datang lewat, ponteng sekolah, melawan guru, tidak membuat latihan yang guru berikan dan sebagainya. Cuba kita kaji prestasi peperiksaan mereka. Sudah tentu pencapaian mereka dalam peperiksaan kurang memuaskan berbanding dengan pelajar yang berdisipin.
 
          Mereka yang tidak berdisiplin bukanlah mempunyai otak yang lemah.Kadang-kadang mereka yang tidak berdisiplin ini mempunyai kecerdasan otak yang lebih baik. Akan tetapi, akibat tidak memikirkan masa depan, peperiksaan yang ditempuhi menemui kegagalan.

          Jika sifat tidak berdisiplin ini diamalkan hingga dewasa, tiada majikan yang akan memberikan kepercayaan kepada mereka. Dalam kehidupan bermasyarakat pula, orang ramai tidak akan menghulurkan tali persahabatan. Ramai rakan-rakan dan sanak-saudara akan menjauhkan diri.

          Kesimpulannya, jelaslah bahawa disiplin itu asas kejayaan, bukan sahaja di sekolah, malah di tempat kerja atau dalam masyarakat.Oleh itu, pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah kepada pihak sekolah, perlulah beringat bahawa perjalanan hidup mereka masih jauh. Perjalanan yang jauh ini memerlukan kejayaan dalam pelajaran. Jika tidak berdisiplin, jangan bermimpi untuk meraih kejayaan itu.

Wednesday, May 8, 2013

LAPORAN : Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah

Soalan : Sekolah kamu telah mengadakan Hari Anugerah Kecemerlanmgan Sekolah. Sebagai Setiausaha, kamu diminta menulis laporan hari anugerah tersebut.
Tulis laporan itu selengkapnya.

                                      Laporan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah

          Pada hari Sabtu, 15 Oktober 2012, Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun telah mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah. Majlis itu bermula seawal pukul 8.30 pagi. Ibu bapa turut hadir untuk memeriahkan majlis yang dilangsungkan di dewan sekolah.

         Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. Penganugerahan ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada murid-murid supaya terus cemerlang.
         Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zool Azhari. Kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi PIBG serta ucapan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun.Tepat pukul 10.00 pagi, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah, Tuan Haji Ghazali. Dalam ucapan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap pendidikan anak-anak.
         Majlis ini telah diserikan lagi dengan persembahan murid-murid. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan Boria oleh murid tahun 6, persembahan tarian zapin oleh murid tahun 5 dan persembahan deklamasi sajak oleh adik Muhamad Nizam daripada kelas 4 Cemerlang.Para tetamu terhibur dengan persembahan yang dipersembahkan.
         Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah kepada murid-murid yang cemerlang dalam akademik berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun. Murid-murid yang cemerlang serta aktif dalam bidang kokurikulum turut diberikan anugerah.
         Majlis ini berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Para tetamu dihidangkan dengan juadah sejurus selesainya majlis itu. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid agar lebih cemerlang pada masa akan datang.

Disediakan oleh ,                                                                                                        20 OKTOBER 2012

.............................
(ALI BIN AHMAD)
Setiausaha,
Hari Anugerah Kecemerlangan
Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun

Monday, January 7, 2013

KARANGAN UPSR : AUTOBIOGRAFI


AKU SEHELAI KEMEJA


Aku sehelai kemeja. Namakuku Boss. Aku dilahirkan di sebuah kedai jahit yang terletak di Pulau Pinang. Badanku dihiasi dengan corak-corak menarik yang dilukis sendiri oleh tuanku . Selepas aku di lahirkan, aku telah dimasukkan ke dalam sebuah kotak dan kemudian dimuatkan ke dalam lori. Aku telah di hantar ke sebuah gedung pakaian di Selangor.
Aku telah dipamerkan di suatu sudut bersama-sama rakanku yang lain. Tanda harga yang diletakkan pada badanku ialah RM120.00. Aku berasa amat bangga kerana dalam kalangan rakanku, akulah yang paling mahal.
 Banyak orang yang memandangku dan memuji akan kecantikanku. Namun, tiada siapa yang sudi membeliku kerana hargaku yang agak mahal. Setelah seminggu aku dipamerkan  di situ, aku telah dibeli oleh seorang pemuda yang bernama Zafran.
Zafran memakaiku pada suatu majlis keramaian di sebuah hotel. Kawan-kawan Zafran memujiku. Setiap kali sebelum dipakai, Zafran akan menggosokkan badanku dengan seterika yang panas. Aku berasa amat seronok kerana tuanku amat menyayangiku dan dijaga dengan elok.
Pada suatu hari, zafran telah meletakkan aku di atas katil di biliknya. Seekor kucing telah duduk di atas badanku.Tanpa disedari, badanku telah terguris dan koyak kerana terkena kuku kucing yang tajam itu. Zafran tidak mengetahui apa-apa yang berlaku kepada diriku.
Apabila Zafran datang dan mengambilku, didapatinya badanku telah terkoyak. Dengan perasaan amat marah dan kecewa, aku dicampakkan ke hadapan pintu bilik air. Kini, aku dijadikan sebagai alas kaki sehingga akhir hayatku.

Sunday, January 6, 2013

KARANGAN UPSR (cerita) : Rumah Jiranku Terbakar

 

Pada suatu petang, ketika pulang dari sekolah, aku ternampak asap tebal berkepul-kepul di udara. Aku segera berlari untuk melihat apa yang berlaku. Ketika itu aku berasa bimbang kerana lokasi asap tebal itu berdekatan dengan rumahku. Rupa-rupanya rumah Tok Lebai yang terbakar.

Aku segera pergi memberitahu ibu bapa. Kemudian bapaku terus keluar rumah untuk meminta pertolongan daripada penduduk kampung. Ramai penduduk kampung yang datang dan mereka bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Namun begitu, api itu semakin marak. Sementara itu, aku segera menelefon pihak bomba. Kira-kira 20 minit kemudian, bomba pun sampai ke tempat kejadian. Setengah jam berikutnya, api yang marak itu berjaya dipadamkan tetapi malangnya rumah Tok Lebai telah pun musnah sama sekali dijilat api.

Pihak bomba menyatakan bahawa punca kejadian itu mungkin akibat daripada litar pintas.Syukurlah kerana tiada kemalangan jiwa berlaku. Tok Lebai dan keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang menolong memadamkan kebakaran rumah mereka.

Memandangkan Tok Lebai jiran terdekat kami, ibu bapaku mengajak Tok Lebai sekeluarga menumpang di rumah kami untuk sementara waktu. Semasa di rumah kami, Tok Lebai selalu kelihatan muram kerana mungkin mengenangkan peristiwa pahit yang melanda keluarganya.

Selang tiga bulan kemudian, rumah Tok Lebai telah siap dibina semula hasil daripada sumbangan dan gotong-royong penduduk kampung. Tok Lebai berasa amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga kami dan juga penduduk kampung yang banyak membantu mereka. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...