BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Friday, October 10, 2014

KARANGAN UPSR (SYARAHAN) : FAEDAH MENABUNG

Selamat sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Berdirinya saya di sini untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Faedah Menabung’.

Hadirin yang saya hormati,

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang perbelanjaan untuk keperluan pada masa hadapan di dalam tabung atau di bank. Sebagai contoh, kita boleh mengumpul lebihan wang perbelanjaan seharian untuk disimpan di bank sebagai tabungan kita. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil kerana menabung memberi banyak faedah kepada kita.

Antara faedah menabung ialah dapat memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan merancang perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Amalan berjimat cermat seperti membawa bekalan air dan makanan ke sekolah membolehkan kita menyimpan baki duit saku yang diberi oleh  ibu bapa ke dalam tabung. Ini akan menjadikan kita insan yang berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan sesuka hati.

Di samping itu, menabung dapat membantu kita atau keluarga apabila ditimpa kesusahan ataupun di saat kita memerlukan wang. Contohnya menggunakan wang tabungan tersebut untuk membeli barang keperluan sekolah ataupun untuk membeli ubat-ubatan di kala kita sakit.. Ini tentu dapat mengembirakan ibu bapa kita terutamanya jika waktu itu mereka kekurangan wang dan sebagainya.

Selain itu, menabung juga akan memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan merancang perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Ini akan menjadikan kita berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan sesuka hati.

Di samping itu, menabung boleh memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan sesuatu peluang baik yang muncul tanpa diduga. Contohnya, kita dapat membeli buku idaman yang jarang-jarang ditemui dengan menggunakan wang simpanan. Ini tentu mengembirakan kita kerana memperoleh apa yang sudah lama diidamkan sedangkan pada masa itu ibu bapa kita mungkin kurang mampu untuk membelinya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seterusnya, amalan menabung juga membolehkan kita membantu orang lain. Contohnya, kita boleh meminjamkan sebahagian wang simpanan kita untuk bayaran yuran sekolah adik jika pada masa itu ibu bapa kita memerlukannya.  Ini secara tidak langsung akan mengeratkan tali persaudaraan kerana membantu mereka ketika dalam kesusahan.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa menabung itu mendatangkan banyak faedah.Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan supaya menjadikan amalan menabung sebagai amalan hidup kerana banyak faedah yang boleh kita diperolehi daripada amalan ini. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Sekian, terima kasih.

Sunday, March 23, 2014

KARANGAN UPSR (FAKTA) : FAEDAH KOMPUTER

SOALAN :

Tulis sebuah karangan tentang faedah komputer kepada seseorang.




Komputer merupakan alat elektronik yang menyimpan mak­lumat pada cakera atau pita bermagnet, meng­analisisnya dan mengeluarkan maklumat selanjutnya apabila diperlukan. Penggunaan komputer semakin popular di dunia dewasa ini. Terdapat pelbagai jenis komputer seperti komputer peribadi, komputer meja, komputer mudah alih, komputer talapak dan sebagainya. Murid-murid terdedah kepada dunia komputer sejak peringkat sekolah rendah lagi. 

Pendedahan ini memberikan banyak faedah kepada mereka. Antaranya, murid-murid boleh meluaskan pengetahuan dan minda mereka melalui penggunaan internet. Murid-murid dapat mencari maklumat terkini dengan cepat dan mudah. Oleh yang demikian, dapat membantu murid-murid dalam proses pembelajaran. Secara tidak langsung ini akan membantu murid-murid meningkatkan prestasi akademik mereka.
    Di samping itu, komputer memudahkan tugas kita. Banyak kerja dan tugasan kini dilakukan dengan bantuan komputer, seperti kerja-kerja penaipan, pelukisan grafik, dan penyediaan laporan. Komputer membolehkan kita menyiapkan kerja tersebut dengan mudah dan cepat. Bagi murid-murid, penggunaan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran sama ada di rumah mahupun di dalam kelas.

Penggunaan komputer dalam pengajaran akan dapat menarik minat murid-murid mengikuti pelajaran. Teknik kapur dan papan hitam yang digunakan pada hari ini mungkin akan membosankan para murid yang dibesarkan dalam zaman teknologi maklumat ini. Komputer, dengan konsep multimedia, iaitu gambar, bunyi dan warna, mampu menarik minat para pelajar. Sudah pastinya, setiap murid akan berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Justeru, akan memudahkan murid memahami sesuatu pelajaran kerana mereka mendapat gambaran yang tepat tentang sesuatu topik yang dipelajari.

Komputer juga mempunyai program untuk memperkembang bahasa, contohnya tesaurus. Murid-murid boleh belajar makna perkataan dan penggunaannya. Justeru, murid-murid akan bijak menyampaikan idea. Penulisan karangan juga akan menjadi lebih mantap dengan penggunaan kosa kata yang lebih meluas.

Kesimpulannya, komputer sangat berguna dalam kehidupan pada hari ini. Guru-guru dan juga murid-murid perlu menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran. Ibu bapa wajar menggalakkan anak-anak menggunakan komputer sejak dari kecil lagi agar mereka dapat menggunakan teknologi komputer sebaik-baiknya supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi masa ini.

Saturday, March 22, 2014

KARANGAN UPSR - SURAT RASMI

Surat Kiriman Rasmi (Permohonan)

Soalan : Persatuan Sejarah sekolah kamu merancang untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Langkawi. Sebagai setiausaha, tulis surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk memohon mengadakan lawatan tersebut.
Tulis surat tersebut selengkap.


  
Persatuan Sejarah,
Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun,
14000 Simpang Empat,
Pulau Pinang.
_______________________________________________________________

Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun,
14000 Simpang Empat,
Pulau Pinang.                                                                                         20 MAC 2014

Tuan,

Memohon Mengadakan Lawatan sambil Belajar ke Langkawi

Berhubung perkara di atas, Saya Nor Firzana binti Mohd Arif, setiausaha Persatuan Sejarah Sekolah Kebangsaan Bukit Tambun ingin memohon untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Langkawi.

2.    Untuk makluman pihak tuan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah sekolah telah merancang untuk mengadakan lawatan ke Langkawi pada 20 hingga 23 April 2014. Seramai 40 orang murid Tahun 6 akan menyertai lawatan ini dengan diiringi oleh 4 orang guru pengiring iaitu Cikgu Faizul, Cikgu Nazariah, Cikgu Azhari dan Cikgu Mazlina. Antara tempat-tempat menarik yang akan dikunjungi semasa di Langkawi nanti ialah Taman Marin Pulau Payar, Taman Agrotek Mardi, Tasik Dayang Bunting dan Dataran Helang.

3.    Tujuan lawatan sambil belajar ini diadakan adalah untuk menambah ilmu pengetahuan serta pengalaman peserta. Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk mengurangkan tekanan para pelajar sebelum menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September nanti. Lawatan ini juga diharap dapat membantu para pelajar mengetahui dengan lebih jelas tentang tempat-tempat menarik yang ada di negara kita. Semoga mereka akan lebih bangga dan bersyukur dilahirkan di negara tercinta ini. 

5.    Kami berharap pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan ini. Kami juga berharap pihak tuan dapat memberi maklum balas secepat mungkin agar kami dapat membuat persediaan awal. Sekiranya tarikh yang kami cadangkan itu tidak bersesuaian, maka pihak tuan bolehlah mencadangkan tarikh yang lain.

Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih. 

Yang menjalankan tugas,

 _________norfirzana_______
(NOR FIRZANA BINTI MOHD ARIF)
Setiausaha Persatuan Sejarah 
Sekolah Kebangsaan Bukit  Tambun.

Wednesday, March 19, 2014

KARANGAN UPSR : KEPERIHALAN

SOALAN ;

Kamu dan kakak kamu dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tiba-tiba, kamu ternampak seekor kucing hampir lemas di dalam longkang.
Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu ambil untuk menolong anak kucing itu.



          Ketika pulang dari sekolah, hujan renyai-renyai mulai turun. Aku dan kakak mempercepat langkah kami. Tiba-tiba, telingaku menangkap bunyi anak kucing mengiau-ngiau dari arah longkang yang berhampiran.Hujan semain lebat, namun aku kuatkan semangat untuk melihat di dalam longkang itu.
          Alangkah kasihannya apabila kami melihat seekor anak kucing tercungap-cungap kerana hampir lemas di dalam longkang itu. Oleh sebab longkang itu agak dalam dan arusnya deras, sukar bagi aku dan kakak untuk menyelamatkan anak kucing itu. Nasib kami baik kerana seorang pemuda lalu di situ lantas kami meminta pertolongannya untuk mengambilkan anak kucing itu. Akhirnya, pemuda itu berjaya mengambil anak kucing dari dalam longkang tersebut.
         Anak kucing itu menggigil kesejukan. "Mungkin anak kucing ini sudah lama berendam di dalam longkang,' beritahuku kepada kakak. Tanpa membuang masa, aku dan kakak membawa anak kucing itu pulang ke rumah. Dalam keadaan hujan yang semakin lebat, kami mempercepatkan langkah kaki menuju ke rumah.
        Sesampainya di rumah, aku terus membawa anak kucing itu ke dapur. Aku mencari kain tuala lamaku yang sudah tidak digunakan lagi. Aku mengelap seluruh badan anak kucing itu sehingga kering. Anak kucing itu kelihatan seperti terkejut dan ketakutan.
        Kakak membawa sepiring susu untuk diberikan kepada anak kucing itu. Kami berdua duduk di tepinya sambil memerhatikan perilaku anak kucing yang comel itu. Apabila kucing itu sudah kenyang, kami meletakkannya ke dalam sebuah bakul. Mungkin kerana keletihan, anak kucing itu terlena. Aku selimutkan anak kucing itu dengan sehelai kain supaya badannya kembali hangat.
       Sekembalinya ibu dan bapaku dari tempat kerja, aku dan kakak menceritakan apa yang berlaku. Ibu dan bapaku berbangga dengan kami kerana prihatin dan baik hati menyelamatkan anak kucing itu. Aku amat gembira kerana ibu dan bapaku membenarkan kami memelihara anak kucing itu. Aku dan kakak menamakan anak kucing itu Comel. Sejak hari itu, Comel menjadi binatang peliharaan kesayangan aku dan kakak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...