BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Friday, September 6, 2013

Karangan UPSR : Cerita Lemas Di Sungai

SOALAN : Kamu dan rakan kamu telah memancing di sungai. Tanpa diduga, rakan kamu telah tergelincir lalu lemas. Tulis cerita kamu selengkapnya.

           Aku dan Hasan tinggal berjiran. Kami berkawan sejak kecil lagi. Hubungan kami sangat akrab. Kami mempunyai hobi yang sama iaitu memancing ikan.
           Pada suatu hari, aku dan Hasan merancang untuk memancing ikan di sungai berdekatan. Setelah menyiapkan semua peralatan seperti joran dan umpan, kami pun bertolak ke lokasi yang ditetapkan. Aku dan Hasan menunggang basikal untuk ke sungai yang terletak di hujung kampung kami.
           Setibanya kami di lokasi, aku dapati banyak kanak-kanak sedang mandi-manda di sungai itu. Aku mencadangakan kepada Hasan supaya mencari lokasi yang lebih sesuai dan jauh daripada riuh-rendah kanak-kanak. Kami meletakkan peralatan di bawah pokok, kemudian terus melabuhkan punggung untuk memancing.
            Lokasi yang kami pilih memang sesuai. Dalam beberapa minit sahaja, kami sudah berjaya memancing pelbagai jenis ikan seperti ikan talapia, ikan lampam dan ikan puyu.Oleh sebab terlalu asyik memancing, kami tidak sedari hari sudah semakin senja. Ketika bersiap-siap untuk pulang, tiba-tiba pancing Hasan ditarik sesuatu. Hasan cuba menarik pancingnya tetapi tidak berjaya.
             Hasan masih terkial-kial menarik pancingnya. Tiba-tiba, Hasan tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai. Dia cuba berenang ke tepi tebing tetapi tidak berjaya kerana arus deras. Aku cuba menghulurkan joranku untuk dicapai olehnya tetapi gagal. Aku segera menjerit meminta tolong apabila melihat Hasan semakin lemah.
             Jeritanku didengari oleh seorang pemuda yang kebetulan memancing di lokasi berhampiran. Dia bergegas terjun ke dalam sungai dan menarik Hasan ke tepi tebing. Hasan berjaya diselamatkan. Kami berdua mengucapkan terima kasih kepada pemuda berkenaan. Sejak hari itu, kami berdua lebih berhati-hati apabila memancing di sungai .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...