BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Tuesday, May 29, 2012

KARANGAN UPSR : Anda Ingin Menulis Karangan Fakta ??

Karangan Fakta adalah merupakan antara karangan yang 'famous' dalam UPSR. Karangan jenis ini tergolong dalam karangan tidak berformat.


Untuk menghasilkan karanga fakta yang baik perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:


Anda perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang


~   Sebelum menulis, anda mestilah memastikan bahawa anda mempunyai fakta-fakta yang cukup tentang tajuk yang dikemukakan.


~  Isi atau fakta yang diberikan perlu lengkap, tersusun , dan menepati kehendak soalan .


~  Cara penyampaiannya mestilah ringkas serta menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami


~  Karangan mestilah merangkumi perenggan pendahuluan, isi dan penutup.


Bagi perenggan pendahuluan, mestilah mengandungi definasi atau penerangan tentang tajuk yang diberi.

Untuk perenggan isi pula, sekurang-kurangnya carilah 4 isi penting. Ianyan mestilah tepat dan bukan rekaan penulis semata-mata. Untuk memperkukuhkan isi, maka perlu disusuli dengan huraian serta contoh. 
~ Bagi perenggan penutup pula, berikan pendapat tentan perkara yang ditulis.




 

Wednesday, May 23, 2012

PANDUAN MENULIS KARANGAN UPSR

Dalam peperiksaan, sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai perenggan pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa.


 B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak soalan. Dalam UPSR, biasanya setiap karangan memerlukan empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Murid-murid digalakkan menulis satu isi, satu perenggan. Setiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Mengapa pelajar cemerlang mendapat banyak isi ? Ini kerana mereka banyak membaca. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.
 
 
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya. Gunakan kata tanya

  • Apa        ( contoh : Apa program yang dijalankan ?)
  • Siapa      ( contoh, siapa yang merasmikan program itu ?)
  • Bila         ( contoh, bila program itu diadakan ?)
  • Mengapa ( contoh, mengapa program itu diadakan?)
  • Di mana  ( contoh, di mana program itu berlangsung?)
C. Penutup
Penutupnya adalah kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup boleh digambarkan  pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Boleh masukkan perasaan atau harapan.Contoh, semua peserta berasa gembira dan berpuas hati dengan keadaan sekolah setelah tamatnya aktiviti gotong-royong itu. Kami berharap aktiviti seumpama ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Juga boleh dimuatkan nilai-nilai yang sesuai. Contohnya, aku bersyukur kerana kawanku akhirnya selamat. Ibub bapanya mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu anak mereka.Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. 
Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.

Monday, May 14, 2012

Karangan Fakta : Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum


Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti di luar bilik darjah. Terdapat banyak jenis kegiatan kokurikulum di sekolah. Kegiatan tersebut termasuklah aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan. Semua pelajar digalakkan menyertai kegiatan kokurikulum mendatangkan banyak faedah.

     Antara faedah kegiatan kokurikulum ialah dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk bergaul dengan budak-budak nakal atau kacang hantu.Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, kita akan berlatih setiap petang. Oleh itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.

     Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Ahli biasa juga boleh belajar daripada kawan-kawan yang ada jawatan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.

     Di samping itu, dengan menyertai kegiatan kokurikulum juga kita dapat membentuk disiplin diri. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya. Contohnya, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan sama ada peraturan perkhemahan, bersukan dan sebagainya.


     Akhir sekali, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap persatuan dan kelab ada banyak ahlinya. Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesamakita.

     Kesimpulannya, terdapat banyak faedah apabila kita menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang.

Friday, May 11, 2012

Karangan Fakta : Cara-cara Menghargai Guru

    Tugas guru ialah mengajar di sekolah.Guru mendidik pelajar supaya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Guru juga ibarat ibu bapa kedua kepada pelajar kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah. Oleh itu, sebagai murid kita sewajarnya menghargai guru. Terdapat banyak cara untuk menghargai guru kita. 

     Antara cara untuk menghargai jasa guru ialah dengan menghormati mereka. Guru perlu dihormati kerana guru menyampaikan ilmu kepada kita.  Mereka mendidik kita supaya menjadi insan yang berguna. Contohnya, kita boleh mengucapkan salam apabila berjumpa dengan  guru. Kita juga tidak boleh sombong terhadap guru.

     Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah mereka. Guru memberikan kerja sekolah bukannya untuk membebankan pelajar, sebaliknya sebagai latihan tambahan atau pengukuhan di rumah. Oleh itu, kita mesti menghantar kerja sekolah  mengikut masa yang ditetapkan. Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Ini pastinya dapat membantu pelajar untuk membuat pembetulan.

     Kita juga boleh menghargai guru dengan cara  berdisiplin semasa di sekolah. Disiplin sangat penting untuk menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran. Contohnya, kita perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam kes-kes buli, gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, dan lain-lain. 

     Pelajar  boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru. Pelajar boleh membantu guru dengan membawakan buku-buku guru ke bilik guru. Mereka juga boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan hari guru pada 16 Mei.

     Pelajar boleh  menghargai guru dengan mengenang jasa  guru.  Hal ini disebabkan guru telah banyak berjasa. Contohnya, kita boleh memberikan hadiah kepada guru semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei.Kita juga perlu menunjukkan kasih sayang kepada guru. Kita bolehlah menziarahi guru ketika mereka sakit. Dengan ini guru akan berasa gembira dan bangga terhadap pelajarnya.

     Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup menerangi orang lain. Oleh itu, setiap pelajar perlu menghargai guru. Ini kerana, jasa guru tidak ternilai harganya dalam melahirkan insan-insan yang berjaya, cemerlang dan gemilang.  

Thursday, May 10, 2012

Peribahasa: Berkaitan Perbuatan @ Kerja yang sia-sia

Bahasa Melayu memang kaya dengan peribahasa. Ada peribahasa yang digunakan untuk menggambarkan perbuatan atau kerja yang tidak mendatangkan kebaikan atau sia-sia. Antaranya:-
  • Arang habis, besi binasa = pekerjaan yang sia-sia.
  • Bagai menghitung bulu kambing = perbuatan yang sia-sia.
  • Bagai hujan jatuh ke pasir = perbuatan yang sia-sia.
  • Bagai kambing menanduk bukit = kerja yang sia-sia yang merugikan diri.
  • Bagai mencencang air = melakukan kerja yang tidak berfaedah.
  • Jangan lemparkan pancing tiada berumpan = kerja yang sia-sia.
  • Laksana layang-layang melawan angin = perbuatan yang sia-sia.
  • Laksana mencari sungai yang tiada berhulu = berpenat lelah yang sia-sia
  • Laksana wau melawan angin = perbuatan yang sia-sia.
  • Seperti anjing menyalak bukit = perbuatan yang sia-sia. 

Sajak Guru : Cikgu, Jasamu Agung di Mata Dunia

Cikgu,
panggilan keramat buatmu
Yang mendidik anak bangsa tanpa jemu
Ketulusan hatimu memukau kalbu
kebijaksanaan akalmu tidak diragu

Cikgu,
Jasamu agung di mata dunia,
Jua mulia di akhirat sana,
Baktimu melangkaui sempadan usia
Jasamu tidak ternilai harganya
Dirimu umpama lilin menyala
Menyinari kegelapan murid tercinta

Cikgu,
Sanjungan dan penghormatan berhak buatmu
Lantaran tugasmu begitu mencabar
bak mengemudi sampan di lautan bergelora
Kau harungi jua dengan jiwa yang kental
Walau apa jua rintangan mendatang
kau menangkisnya dengan penuh matang

Cikgu,
Andainya dunia ini tanpamu
Nescaya punah oleh kejahilan
Manusia tidak akan mengenal erti kemodenan
Insan tidak akan berlumba mengejar kejayaan
Mereka pastinya leka dengan warisan
Namun, 
Ketabahanmu menukar corak wawasan
Kecerdikanmu mewarnai opera kehidupan
Kau berkaliber dan berhati mulia
Yang sering menjadi cerminan bangsa

Cikgu,
Terima kasih kami buatmu
Sesungguhnya, dirimu patut dihargai
Semoga kau bahagia dan gembira
Agar dilimpahi  rahmat Yang Esa
Teruskanlah perjuanganmu, cikgu...

(nukilan ~ nikfaizul, 2012)


Kata Sendi : Kesalahan Lazim dilakukan...

1.  Kata sendi hanya boleh disertai frasa nama sebagai objek untuk membentuk frasa sendi.
Contoh :
Oleh kerana tidak mendapat kebenaran lawatan, perkhemahan itu dibatalkan. (salah)
Oleh sebab tidak mendapat kebenaran, perkhemahan itu dibatalkan. (betul)

2. Sebagai kata yang merangkaikan frasa nama dan frasa adjektif dan frasa kerja tak transitif, kata sendi tidak boleh dilenyapkan.
Contoh :
Adik saya suka aiskrim. (salah)
Adik saya suka akan aiskrim. (betul)

3. Kata sendi untuk dan demi tidak boleh digunakan secara berturut-turut.
Contoh :
Ayah sanggup berkorban demi untuk anaknya. (salah)
Ayah sanggup berkorban untuk anaknya. (betul)  

4. Kata sendi dengan tidak boleh digunakan selepas kata kerja pasif yang berawalan di- dan ter-
 Contoh :
Ali amat terpesona dengan keindahan alam di kawasan itu. (salah)
Ali amat terpesona oleh keindahan alam di kawasan itu. (betul)

Wednesday, May 9, 2012

Surat Kiriman Rasmi (Permohonan)

Soalan : Persatuan Pengakap sekolah kamu akan mengadakan Perkhemahan Tahunan. Sebagai setiausaha, kamu perlu menulis surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk memohon mengadakan perkhemahan tersebut.
Tulis surat tersebut selengkap.
 
Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Taman Tambun,
14000 Simpang Empat,Pulau Pinang.
__________________________________________________________

Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Tambun,
14000 Simpang Empat,
Pulau Pinang.                                                                                         05 MAC 2012

Tuan,

Memohon Mengadakan Perkhemahan Tahunan Pengakap

Berhubung perkara di atas, Saya Ali bin Abu, setiausaha Pasukan Pengakap Sekolah Kebangsaan Taman Tambun ingin memohon untuk mengadakan Perkhemahan Tahunan Pasukan Pengakap.

2.    Untuk makluman pihak tuan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengakap sekolah telah merancang untuk mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan. Butir-butir perkhemahan adalah seperti ketetapan berikut ;
       Tarikh : 6 Mac 2012 hingga 8 Mac 2012
       Tempat : Padang Sekolah
       Peserta : 40 orang ahli pengakap 

3.    Tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aktiviti tahunan pertubuhan ini. Selain itu, perkhemahan ini diadakan untuk memberikan pengalaman di samping dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan murid seperti berdisiplin, bekerjasama, berdikari dan sebagainya.

5.    Kami berharap pihak tuan dapat menimbang permohonan ini. Kami juga berharap pihak tuan dapat memberi maklum balas secepat mungkin agar kami dapat membuat persediaan awal. Sekiranya tarikh yang kami cadangkan itu tidak bersesuaian, maka pihak tuan bolehlah mencadangkan tarikh yang lain.

 
Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih. 

Yang menjalankan tugas,

Aiman Hakim
…………………………………
(AIMAN HAKIM BIN ILHAM)
Setiausaha Persatuan Pengakap
Sekolah Kebangsaan Taman Tambun.

 

 

Faedah Menabung

        Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.

     Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat-cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit saku yang diberi oleh  ibu bapa dapat disimpan ke dalam tabung.

     Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.

     Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit, wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Contohnya, wang itu digunakan untuk membeli ubat-ubatan atau bil hospital. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika  ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. 

     Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Dialek Kelate

Bahasa Nadi Bangsa....
Hari ini saya akan paparkan beberapa perkataan dialek kelate untuk kita kongsi bersama. 
agah ~ sombong/bongkak
belawok ~ menipu/berbohong
gustey ~ mundur 
gohek ~ maju
deghah ~ laju/kencang
keknya ~ tetapi
Ghoyak ~ beritahu 
chekak ~ larat
tok chekak ~ letih/tak larat
tok sey ~ tak mau

Dialek Kelate : Kata Penguat dan Darjah Penghabisan


Malaysia bumi bertuah. Kita bukan sahaja kaya dengan pelbagai budaya, malah kaya juga dari segi bahasa. Di Malaysia, kita ada pelbagai dialek negeri. Salah satunya, Dialek Kelantan.
Bagi orang-orang Kelantan, penggunaan kata penguat yang menunjukkan darjah penghabisan selalu digunakan. Namun, mungkin ada yang tidak tahu dan faham, bahawa itu sebenarnya jika diikutkan istilah standardnya dipanggil kata penguat.Contohnya ...;
  • gege-rioh = suasana amat bising
  • balik-kue = keadaan yang tidak terurus 
  • bekak-beking = keadaan yang banyak bengkak
  • masin-perak = terlalu masin
  • biru-ketu = biru tua, terlalu biru warnanya
  • kemah-kemin = kejap, pegangan/pautan yang kuat/erat
  • keras-kejun = terlalu keras
  • tawa-hebe = terlalu tawar/ tak ada rasa apa-apa
  • kunin-nehe = terlalu kuning
  • bulat-gete = terlalu bulat
  • belok-bleka = bengkang bengkok
  • puteh-sepo = terlalu putih/ bersih
  • merah-nyela = merah cerah / merah terang
  • gege-regok = terlalu bising
  • papo-kedano = terlalu miskin
  • pahit-lepe = sangat pahit
  • manis-leting = terlalu manis
  • busuk-bangar = terlalu busuk
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...