BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Tuesday, June 18, 2013

KARANGAN UPSR ; KEPERIHALAN / GAMBARAN : Berkunjung ke Pameran Buku

SOALAN : Baru-baru ini kamu telah berpeluang pergi ke pameran buku. Gambarkan suasana di tempat pameran buku itu diadakan.

       Pada minggu yang lalu, bertempat di Dewan Besar Simpang Ampat Pulau Pinang telah diadakan suatu pameran buku secara besar-besaran. Pameran buku ini berlangsung selama seminggu. Zafran rakan sekelas saya telah mengajak saya berkunjung ke pameran buku tersebut. Kami pergi ke sana dengan menaiki bas.

       Menjelang tengah hari, kami pun tiba di ruang pameran. Saya dapati banyak penerbit buku membuka gerai masing-masing. Ruang pameran penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing sibuk membelek-belek dan memilih buku yang dipamerkan. Banyak ibu bapa membawa anak-anak mereka datang ke pameran tersebut.

       Pameran buku ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran. Pameran buku ini telah disertai oleh 50 buah syarikat penerbit buku dari seluruh negara. Tujuan pameran buku ini diadakan adalah untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Di samping itu, pameran ini juga memudahkan orang ramai memilih bahan bacaan yang sesuai dan digemari oleh mereka.

      Buku-buku yang dijual di pameran ini murah-murah belaka. Pihak penerbit yang mengambil bahagian dalam pameran ini memberi diskaun antara 10% hingga 70% bergantung kepada jenis, kualiti dan tahun buku itu diterbitkan. Antara buku yang dijual ialah buku rujukan, buku cerita, majalah dan buku-buku ilmiah.

       Selain pameran buku, pelbagai aktiviti turut diadakan untuk pengunjung yang hadir. Antaranya ialah kuiz, pertandingan melukis, pertandingan mendeklamasikan sajak dan macam-macam lagi. Pelbagai hadiah disediakan seperti buku, sijil dan wang tunai. Banyak kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam pertandingan melukis. Ibu bapa yang hadir juga terhibur dengan persembahan kebudayaan yang diadakan.

       Saya dan Zafran turut membeli beberapa buah buku cerita dan buku rujukan UPSR. Saya dan Zafran menghabiskan masa hampir tiga jam di pameran itu, Ketika kami ingin meninggalkan tempat itu, orang ramai masih berpusu-pusu mengunjungi pameran tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...