BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Thursday, June 21, 2012

Syarahan : Pentingnya Anak-anak Menghormati Ibu Bapa

SOALAN : Kamu akan menyertai pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang diberikan ialah "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".
Tulis syarahan itu selengkapnya.

         Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Guru Besar, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasih sekalian.Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Pentingnya anak-anak menghormati ibu bapa".

          Hadirin sekalian,

          Ibu bapa memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Merekalah orang yang banyak berjasa kepada kita. Mereka mencurahkan kasih sayang sejak kita di dalam kandungan lagi. Oleh itu, menghormati mereka dengan sepenuh hati merupakan salah satu cara kita membalas jasa-jasa mereka.

         Anak-anak perlu sedar bahawa ibu bapa banyak berkorban wang ringgit untuk menyara dan memenuhi keperluan kita. Namun, mereka sekali-kali tidak pernah merungut tentang kos untuk membesarkan kita selama ini. Betapa zalimnya jika kita tidak menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka kepada kita.

         Hadirin sekalian,

         Ibu bapa telah memberikan pendidikan agama, akhlak dan sahsiah kepada kita. Mereka juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberikan kita pendidikan yang sempurna.Balaslah jasa mereka, apatah lagi apabila kita sudah berjaya menggapai cita-cita.

         Selain itu, ibu bapa juga merupakan insan yang paling rapat dengan kita. Sekiranya kita mempunyai masalah, mereka akan berusaha mencari jalan penyelesaiannya.Oleh itu, sayangilah mereka kerana ibu bapa tiada galang gantinya di dunia ini.

        Oleh yang demikian, kita perlulah sentiasa menghormati ibu bapa. Sebagai anak, kita perlu mencari keberkatan di dunia dan akhirat. Semuanya dapat diperoleh apabila kita mendapat restu daripada ibu bapa kita. Marilah kita bersama-sama menghormati ibu bapa kita.

       Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...