BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Wednesday, May 23, 2012

PANDUAN MENULIS KARANGAN UPSR

Dalam peperiksaan, sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai perenggan pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa.


 B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak soalan. Dalam UPSR, biasanya setiap karangan memerlukan empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Murid-murid digalakkan menulis satu isi, satu perenggan. Setiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Mengapa pelajar cemerlang mendapat banyak isi ? Ini kerana mereka banyak membaca. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.
 
 
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya. Gunakan kata tanya

  • Apa        ( contoh : Apa program yang dijalankan ?)
  • Siapa      ( contoh, siapa yang merasmikan program itu ?)
  • Bila         ( contoh, bila program itu diadakan ?)
  • Mengapa ( contoh, mengapa program itu diadakan?)
  • Di mana  ( contoh, di mana program itu berlangsung?)
C. Penutup
Penutupnya adalah kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup boleh digambarkan  pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Boleh masukkan perasaan atau harapan.Contoh, semua peserta berasa gembira dan berpuas hati dengan keadaan sekolah setelah tamatnya aktiviti gotong-royong itu. Kami berharap aktiviti seumpama ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Juga boleh dimuatkan nilai-nilai yang sesuai. Contohnya, aku bersyukur kerana kawanku akhirnya selamat. Ibub bapanya mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu anak mereka.Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. 
Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...