BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Wednesday, March 19, 2014

KARANGAN UPSR : KEPERIHALAN

SOALAN ;

Kamu dan kakak kamu dalam perjalanan pulang dari sekolah. Tiba-tiba, kamu ternampak seekor kucing hampir lemas di dalam longkang.
Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu ambil untuk menolong anak kucing itu.



          Ketika pulang dari sekolah, hujan renyai-renyai mulai turun. Aku dan kakak mempercepat langkah kami. Tiba-tiba, telingaku menangkap bunyi anak kucing mengiau-ngiau dari arah longkang yang berhampiran.Hujan semain lebat, namun aku kuatkan semangat untuk melihat di dalam longkang itu.
          Alangkah kasihannya apabila kami melihat seekor anak kucing tercungap-cungap kerana hampir lemas di dalam longkang itu. Oleh sebab longkang itu agak dalam dan arusnya deras, sukar bagi aku dan kakak untuk menyelamatkan anak kucing itu. Nasib kami baik kerana seorang pemuda lalu di situ lantas kami meminta pertolongannya untuk mengambilkan anak kucing itu. Akhirnya, pemuda itu berjaya mengambil anak kucing dari dalam longkang tersebut.
         Anak kucing itu menggigil kesejukan. "Mungkin anak kucing ini sudah lama berendam di dalam longkang,' beritahuku kepada kakak. Tanpa membuang masa, aku dan kakak membawa anak kucing itu pulang ke rumah. Dalam keadaan hujan yang semakin lebat, kami mempercepatkan langkah kaki menuju ke rumah.
        Sesampainya di rumah, aku terus membawa anak kucing itu ke dapur. Aku mencari kain tuala lamaku yang sudah tidak digunakan lagi. Aku mengelap seluruh badan anak kucing itu sehingga kering. Anak kucing itu kelihatan seperti terkejut dan ketakutan.
        Kakak membawa sepiring susu untuk diberikan kepada anak kucing itu. Kami berdua duduk di tepinya sambil memerhatikan perilaku anak kucing yang comel itu. Apabila kucing itu sudah kenyang, kami meletakkannya ke dalam sebuah bakul. Mungkin kerana keletihan, anak kucing itu terlena. Aku selimutkan anak kucing itu dengan sehelai kain supaya badannya kembali hangat.
       Sekembalinya ibu dan bapaku dari tempat kerja, aku dan kakak menceritakan apa yang berlaku. Ibu dan bapaku berbangga dengan kami kerana prihatin dan baik hati menyelamatkan anak kucing itu. Aku amat gembira kerana ibu dan bapaku membenarkan kami memelihara anak kucing itu. Aku dan kakak menamakan anak kucing itu Comel. Sejak hari itu, Comel menjadi binatang peliharaan kesayangan aku dan kakak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...