BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Thursday, October 4, 2012

KARANGAN UPSR : Cara-cara Membalas Jasa Ibu Bapa

SOALAN : Anak yang baik akan sentiasa membalas jasa ibu bapanya. Berikan pendapat kamu, cara-cara yang patut dilakukan untuk membalas jasa kedua-dua orang tua kita.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

               Setiap insan sudah pastinya mempunyai ibu bapa. Sesudah sembilan bulan dikandung ibu, dengan izin Allah, kitapun dilahirkan. Sesudah lahir, kita dijaga dengan penuh kasih sayang, bagai menatang minyak yang penuh.
               Sebagai anak, kita sewajarnya membalas jasa kedua-dua ibu bapa kita. Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk membalas jasa mereka. Antaranya, kita perlu belajar bersungguh-sungguh. Kejayaan yang cemerlang dalam UPSR sudah tentu mampu menggembirakan ibu bapa kita. Sesungguhnya setiap ibu bapa inginkan anaknya berjaya dalam pelajaran kerana pelajaran boleh menentukan masa depan kita.
               Kita juga sebagai anak yang baik sewajarnya mempamerkan tingkah laku yang mulia. Apabila bertutur dengan ibu bapa, elakkan bercakap kasar. Segala nasihat mereka perli didengar dengan teliti dan diikuti sebagai pedoman hidup. Kita janganlah menyinggung perasaan mereka dengan tingkah laku kita yang boleh menyebabkan hati mereka sakit, bagai dihiris dengan sembilu.
               Kita juga haruslah bersikap tangan terbuka membantu mereka. Seharian mereka bekerja untuk mencari nafkah menanggung kita sekeluarga. Dengan sikap kita yang suka membantu ibu bapa, sudah pastinya akan meringankan beban mereka yang sudah penat bekerja. Kita boleh membantu mereka mengemas rumah, memasak, menyiram pokok bunga dan sebagainya.
               Sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa menyediakan keperluan asas kepada kita. Namun, sebagai anak yang baik, kita janganlah mendesak mereka memenuhi apa yang kita inginkan. Contohnya, kita mendesak mereka membeli komputer, pakaian yang mahal-mahal dan sebagainya. Kita janganlah membandingkan kemampuan ibu bapa kita dengan kemampuan orang lain. Kita sepatutnya perlu ukur baju dibadan sendiri, agar kita tidak dianggap seperti kacang lupakan kulit.
                Sesungguhnya, pengorbanan ibu bapa tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Segala perit jerih mereka membesarkan kita seharusnya dihargai. Oleh itu, kita perlu sedaya upaya berusaha untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka.

2 comments:

  1. Thanks for this essay. Really help me a lot. xx

    ReplyDelete
  2. This is an absolute masterpiece! What a piece of art! Magnificent! Keep it up lads

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...