BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Friday, October 10, 2014

KARANGAN UPSR (SYARAHAN) : FAEDAH MENABUNG

Selamat sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Berdirinya saya di sini untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk ‘Faedah Menabung’.

Hadirin yang saya hormati,

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang perbelanjaan untuk keperluan pada masa hadapan di dalam tabung atau di bank. Sebagai contoh, kita boleh mengumpul lebihan wang perbelanjaan seharian untuk disimpan di bank sebagai tabungan kita. Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil kerana menabung memberi banyak faedah kepada kita.

Antara faedah menabung ialah dapat memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan merancang perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Amalan berjimat cermat seperti membawa bekalan air dan makanan ke sekolah membolehkan kita menyimpan baki duit saku yang diberi oleh  ibu bapa ke dalam tabung. Ini akan menjadikan kita insan yang berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan sesuka hati.

Di samping itu, menabung dapat membantu kita atau keluarga apabila ditimpa kesusahan ataupun di saat kita memerlukan wang. Contohnya menggunakan wang tabungan tersebut untuk membeli barang keperluan sekolah ataupun untuk membeli ubat-ubatan di kala kita sakit.. Ini tentu dapat mengembirakan ibu bapa kita terutamanya jika waktu itu mereka kekurangan wang dan sebagainya.

Selain itu, menabung juga akan memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan merancang perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Ini akan menjadikan kita berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan sesuka hati.

Di samping itu, menabung boleh memberi peluang kepada kita untuk mendapatkan sesuatu peluang baik yang muncul tanpa diduga. Contohnya, kita dapat membeli buku idaman yang jarang-jarang ditemui dengan menggunakan wang simpanan. Ini tentu mengembirakan kita kerana memperoleh apa yang sudah lama diidamkan sedangkan pada masa itu ibu bapa kita mungkin kurang mampu untuk membelinya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seterusnya, amalan menabung juga membolehkan kita membantu orang lain. Contohnya, kita boleh meminjamkan sebahagian wang simpanan kita untuk bayaran yuran sekolah adik jika pada masa itu ibu bapa kita memerlukannya.  Ini secara tidak langsung akan mengeratkan tali persaudaraan kerana membantu mereka ketika dalam kesusahan.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa menabung itu mendatangkan banyak faedah.Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan supaya menjadikan amalan menabung sebagai amalan hidup kerana banyak faedah yang boleh kita diperolehi daripada amalan ini. Bak kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...