BERSATU BERUSAHA MENGGAPAI KECEMERLANGAN

Saturday, June 15, 2013

KARANGAN UPSR : FAKTA : Disiplin Penentu Kejayaan

SOALAN : Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk 'Disiplin Penentu Kejayaan'.

          Anggapan bahawa orang yang berjaya adalah kerana mereka mempunyai pemikiran yang pandai sejak dilahirkan merupakan tanggapan yang silap. Orang yang berjaya sebenarnya mempunyai disiplin mengurus diri yang baik. Apabila pandai mengurus diri, pandailah pula mengurus orang.
          
          Mengapakah disiplin itu dikatakan penentu kejayaan ? Sebenarnya apabila seseorang itu berdisiplin, segala tugasan yang diamanahkan kepadanya, sama ada daripada guru, ibu bapa, dan juga majikan dapat dilakukan dengan sempurna. Jika tidak berdisiplin, biasanya sesuatu kerja atau tugasan akan bertangguh. Kemudian, kerja tersebut akan dilakukan dengan tergesa-gesa. Akhirnya kerja siap tetapi tidak seperti yang diharapkan.

          Setiap sekolah pastinya mempunyai murid yang tidak berdisiplin, seperti datang lewat, ponteng sekolah, melawan guru, tidak membuat latihan yang guru berikan dan sebagainya. Cuba kita kaji prestasi peperiksaan mereka. Sudah tentu pencapaian mereka dalam peperiksaan kurang memuaskan berbanding dengan pelajar yang berdisipin.
 
          Mereka yang tidak berdisiplin bukanlah mempunyai otak yang lemah.Kadang-kadang mereka yang tidak berdisiplin ini mempunyai kecerdasan otak yang lebih baik. Akan tetapi, akibat tidak memikirkan masa depan, peperiksaan yang ditempuhi menemui kegagalan.

          Jika sifat tidak berdisiplin ini diamalkan hingga dewasa, tiada majikan yang akan memberikan kepercayaan kepada mereka. Dalam kehidupan bermasyarakat pula, orang ramai tidak akan menghulurkan tali persahabatan. Ramai rakan-rakan dan sanak-saudara akan menjauhkan diri.

          Kesimpulannya, jelaslah bahawa disiplin itu asas kejayaan, bukan sahaja di sekolah, malah di tempat kerja atau dalam masyarakat.Oleh itu, pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah kepada pihak sekolah, perlulah beringat bahawa perjalanan hidup mereka masih jauh. Perjalanan yang jauh ini memerlukan kejayaan dalam pelajaran. Jika tidak berdisiplin, jangan bermimpi untuk meraih kejayaan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...